Melaka United bangkit tiga kali ikat Kelantan United di Kota Bharu

KOTA BHARU,. Hasrat Kelantan United FC (KUFC) meraih tiga mata pertama dalam saingan Kumpulan C kempen Piala Malaysia tidak kesampaian selepas terikat 3-3 berdepan pendahulu kumpulan, Melaka United FC pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam tadi.

Gol pertama KUFC hadir pada minit ke-22 menerusi sepakan deras import dari Jepun Yuki Tanigawa dari luar kotak penalti, menewaskan penjaga gol Melaka United Khairul Fahmi Che Mat.

Melaka United yang turun dengan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan pertama kumpulan, tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan melalui pemain import Sonny Norde pada minit ke-25, yang bijak memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan lawan dalam kotak penalti.

KUFC menambah gol kedua pada minit ke-39 menerusi larian solo Gassama Alfusainey dari tengah padang, sebelum pemain dari Gambia itu mudah menolak masuk bola menewaskan Khairul Fahmi.

Susulan jaringan itu, pemain pertahanan KUFC menerapkan permainan bertahan bagi mengekang asakan bertali arus Melaka United sebagai usaha mempertahankan kedudukan 2-1 sehingga rehat.

Separuh masa kedua anak buah Zainal Abidin Hassan lebih menguasai perlawanan bagi memecah kubu pertahanan KUFC yang berdisiplin tinggi, sebelum berjaya ‘menebuk’ benteng pasukan tuan rumah untuk gol penyamaan pada minit ke-55 menerusi sepakan percuma S. Kumaahran.

Kedua-dua pasukan kemudian rancak melakukan gerakan serangan bagi memburu gol kemenangan dalam usaha mengutip tiga mata berharga, bagi dijadikan bekalan untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

KUFC menarik nafas lega apabila sekali lagi berjaya mendahului perlawanan yang menyaksikan Khairul Fahmi tewas buat kali ketiga, selepas pemain gantian KUFC Shafizi Iqmal Md Khairudin melepaskan sepakan deras dari jarak dekat pada minit ke-78.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila pemain import Melaka United dari Jerman Manuel Ott menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83, sekali gus menyelamatkan maruah pasukan dengan keputusan 3-3 kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Melaka United kekal menerajui saingan Kumpulan C mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan, manakala KUFC meraih mata pertama dalam saingan kumpulan itu di kedudukan tercorot.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )