Menang atau kalah, kita akan terus berjuang – Meng Yean

Menang atau kalah, kita akan terus berjuang – Meng Yean

AARHUS,. Biarpun harapan untuk melangkah ke suku akhir tidak kesampaian, kapten skuad Piala Uber negara Lee Meng Yean berjanji bahawa beliau dan rakan sepasukan tetap akan berjuang hingga perlawanan terakhir.

Walaupun tewas 4-1 kepada Denmark pada Sabtu dan kecundang 5-0 di tangan China pada Ahad, pemain beregu berusia 27 tahun itu percaya bahawa skuad negara yang dibarisi oleh pemain muda telah mempamerkan aksi dan semangat juang tinggi.

Pada masa sama, beliau turut yakin bahawa barisan pemain Malaysia mampu menundukkan Kanada dalam aksi terakhir Kumpulan D, esok (awal pagi Selasa waktu Malaysia).

“Selepas tewas dua perlawanan, memang sukar nak layak ke suku akhir, tetapi kita akan kekalkan semangat juang kita menentang Kanada esok. Kita akan terus berjuang hingga perlawanan terakhir tidak kira menang atau kalah,” katanya di Ceres Arena di sini.

Terdahulu, juara Olimpik Chen Yu Fei memulakan kemenangan China dengan mengatasi Eoon Qi Xuan 21-13, 21-11, diikuti kemenangan 21-12, 21-17 oleh Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting ke atas Lee Meng Yean-M Thinaah, manakala He Bing Jiao menewaskan Siti Nurshuhaini Azman 21-8, 21-3.

Skuad negara terus dilanda derita apabila beregu kedua China, Huang Dong Ping-Jia Yi Fan menundukkan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing 21-9, 21-12, sebelum Wang Zhi Yi melengkapkan kemenangan dengan menewaskan K. Letshanaa 21-15, 21-11.
Mengulas mengenai perlawanan semalam, Thinaah berkata pergerakan mereka agak perlahan, manakala pertahanan cukup baik, ditambah pula serangan lawan yang agresif.

Pemain muda negara Qi Xuan yang diturunkan selaku perseorang pertama menentang Yu Fei berkata perasaannya bercampur-baur dapat beraksi menentang pemain nombor dua dunia itu.

“Saya gembira dan pada masa sama gementar, saya rasa boleh belajar dengan dia banyak perkara, permainannya tenang dan tidak gelabah. Awal-awal perlawanan tadi, mungkin dia tidak tahu permainan saya, tetapi selepas baca permainan saya, dia dah boleh agak rentak saya.

“Permainannya sangat bagus, saya bermain agak perlahan dan dia dah menguasai permainan saya. Rentak permainan dia agak cepat, apabila saya membalas hantaran, pukulan balasnya datang balik dengan laju,” katanya sambil menambah bahawa beliau bersedia mempamerkan aksi terbaik jika diturunkan pada perlawanan menentang Kanada nanti.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan wanita negara Indra Wijaya percaya bahawa anak buahnya telah mempamerkan prestasi dan semangat juang tinggi, walaupun masih ketinggalan dari segi pengalaman dan pendedahan di peringkat tertinggi untuk mencabar lawan bertaraf dunia.

“Kita datang dengan pemain muda, ini adalah kejohanan pertama dan tertinggi bagi beberapa pemain selepas dinaikkan pangkat dari skuad junior.

“Apabila bertemu pasukan seperti China dan Denmark, kita kena terima realiti bahawa mereka jauh lebih baik dan walaupun kita masih jauh (ketinggalan) pemain mempamerkan aksi yang cukup baik. Ini adalah pengalaman yang baik untuk mematangkan mereka.

“Pemain seperti Qi Xuan, Letshanaa dan Siti telah menampilkan aksi yang baik, usaha kita akan membuahkan hasilnya nanti,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )