Menghargai Haiwan Sebagai Makhluk Tuhan

Oleh : Prof Madya Dr Arif Fahmi Md Yusof

Haiwan merupakan antara makhluk ciptaan Tuhan yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan manusia secara langsung atau tidak. Sebahagian besar manusia di dunia ini menggunakan sumber haiwan bukan sahaja sebagai keperluan makanan tetapi juga dalam penjanaan sumber ekonomi negara.

Seorang sarjana dalam bidang pengajian Melayu Profesor Lim Kim Hui menyatakan haiwan memainkan peranan penting dalam kehidupan orang Melayu. Kerbau menjadi peneman, pembantu dan pekerja bagi masyarakat Melayu mengerjakan sawah padi. Ayam betina bertelur dan ayam jantan berkokok di subuh hari mengejutkan seisi rumah. Kucing dan burung dipelihara sebagai haiwan kesayangan.

Beberapa spesis haiwan juga boleh dilatih untuk membantu manusia yang berkeperluan khas seperti orang kelainan upaya (OKU) sebagai haiwan pembantu atau haiwan terapi. Haiwan seperi anjing dilatih untuk berkhidmat membawa OKU cacat penglihatan sebagai petunjuk jalan. Selain anjing, haiwan-haiwan lain yang boleh dilatih untuk menjadi pembantu haiwan ialah kuda, ferret (spesis musang) dan burung kakak tua.

Pada 2008, seorang pelajar Muslim yang cacat penglihatan di United Kingdom, Mahomed-Abraar Khatri menggunakan khidmat anjing pembantu untuk menunjuk arah, termasuk untuk membawa beliau ke masjid menunaikan solat. Masjid yang terletak di Leceister itu juga menyediakan ruang khas untuk anjing pembantu tersebut sementara menunggu Mohamed selesai solat di masjid.

Khidmat haiwan sebagai pembantu manusia masih terhad di Malaysia. Setakat ini, anjing ialah haiwan yang paling mudah dilatih untuk menjadi haiwan pembantu. Bagaimanapun, persekitaran dan budaya di negara ini memerlukan kajian terperinci tentang penggunaan anjing sebagai haiwan pembantu atau haiwan terapi bagi mengelakkan salah faham masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Pengiktirafan kepada haiwan

Terkini, pada 25 September 2020 seekor tikus spesis raksasa Afrika yang bernama Magawa di Kemboja dianugerahkan pingat emas atas kejayaan mengesan 39 periuk api dan 28 bahan peledak yang tidak meletup di atas tanah seluas 141,000 kaki persegi (13.099 meter persegi). Sebanyak 6 juta periuk api dipercayai ditanam di Kemboja dari 1975 hingga 1998 yang telah mengakibatkan lebih 64,000 kematian dan 40,000 kecederaan setakat ini.

Dalam masa yang sama, terdapat 45 ekor tikus spesis ini dilatih oleh sebuah badan amal Pembangunan Pengesanan Periuk Api Anti-Personel (APOPO) bagi mengesan periuk api di negara-negera terpilih. Spesis yang sama juga dilatih untuk mengesan tuberkulosis atau penyakit batuk kering pada manusia.

Pengiktirafan berbentuk pingat keberanian kepada haiwan ini juga telah diberikan kepada anjing, kuda, burung merpati, kucing dan arnab dalam pasukan keselamatan dan penyelamat yang memberi khidmat cemerlang dalam konflik peperangan, bencana alam dan siasatan jenayah.

Di Malaysia, khidmat haiwan digunakan secara meluas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui unit anjing pengesan (K9). Ketajaman deria anjing dimanfaatkan untuk membantu menyelesaikan kes-kes jenayah dan operasi mencari dan menyelamat.

Pada Februari 2020, seekor anjing bernama Lao Wu dari Unit K9 PDRM mencipta sejarah menjadi haiwan pertama dianugerahkan Pingat Jasamu Dikenang oleh Kontinjen Polis Pahang atas kejayaan membantu mengesan sehingga tertangkap seorang suspek dalam kes curi kenderaan.

Tanggungjawab manusia dan kebajikan haiwan

Tuhan mencipta manusia, haiwan dan tumbuhan dengan tujuan tertentu. Masing-masing diberikan peranan untuk saling melengkapi di antara satu dengan yang lain. Perbezaan di antara manusia dan haiwan ialah akal dan keupayaan untuk berfikir secara rasional. Maka manusia haruslah menggunakan kelebihan akal yang diberikan untuk kebaikan.

Tanggungjawab manusia terhadap haiwan banyak digariskan dalam pelbagai ajaran agama. Semua agama di dunia menyeru kepada pentingnya menjaga kebajikan haiwan. Bahkan dalam beberapa agama, haiwan diklasifikasikan sebagai “suci” dan perlu menerima layanan sebaiknya dari manusia. Tiada satu pun ajaran agama menganjurkan kezaliman dan penganiayaan terhadap haiwan.

Pengiktirafan dengan cara melayan haiwan dengan baik dan menjaga kebajikan mereka adalah tanggungjawab manusia. Haiwan boleh merasai kesakitan dan kesengsaraan. Penganiayaan terhadap haiwan ialah perbuatan terkutuk yang perlu dihindarkan. Ia merupakan perbuatan yang bertentangan dengan norma kehidupan manusia. Ia juga satu kesalahan dalam undang-undang.

Undang-undang dan kebajikan haiwan

Akta Kebajikan Haiwan 2015 melalui seksyen 29 hingga 31 menggariskan bentuk-bentuk penganiayaan terhadap haiwan dan memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 sehingga RM100,000 serta penjara sehingga tiga tahun sekiranya didapati bersalah menganiaya haiwan.

Kes-kes mahkamah yang diputuskan sebelum ini juga memperuntukkan hukuman yang berat kepada pelaku jenayah terhadap haiwan.

Mahkamah Sesyen Georgetown Pulau Pinang pada 8 September 2020 lalu telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 kepada seorang wanita yang menganiaya dua ekor anjing peliharaannnya dengan tidak memberi makanan dan merantai haiwan berkenaan sehingga seekor daripada anjing tersebut mati. Wanita tersebut juga dilucutkan hak penjagaan kepada seekor lagi anjingnya yang masih hidup.

Pada 5 November 2019, Mahkamah Sesyen Selayang telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM40,000 dan penjara 34 bulan kepada seorang pekerja kontrak yang didapati bersalah memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering di sebuah pusat lobi layan diri di Batu Caves. Terdahulu pada 17 Januari 2019, rakan beliau, seorang pemandu teksi juga dijatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan bagi kesalahan yang sama.

Sementara itu, pada 14 Jun 2019, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan kepada seorang lelaki yang membunuh seekor kucing dengan cara menjerut leher dan menggantung kucing di tangga sebuah blok pangsapuri di Wangsa Maju.

Peruntukan hukuman yang berat kepada kesalahan jenayah kezaliman terhadap haiwan bertujuan mencegah kejadian penganiayaan haiwan berulang. Namun harus diingatkan hukuman bukanlah penyelesaian utama kepada kesalahan jenayah terhadap haiwan. Sistem pendidikan negara harus digarap untuk menerapkan aspek tanggungjawab manusia terhadap haiwan dalam matapelajaran di sekolah dan kursus-kursus berkaitan di institusi pengajian tinggi.

Sempena hari haiwan sedunia yang disambut pada 4 Oktober setiap tahun, marilah kita sama-sama menghargai dan mengiktiraf haiwan, makhluk ciptaan Tuhan yang banyak memberi manfaat kepada manusia. Kita bersama menjaga kebajikan haiwan dan menjauhkan mereka dari kezaliman. Kita sayangi mereka. Sesungguhnya menyayangi makhluk hidup itu memberi pahala buat kita semua.

— BERNAMA

Prof Madya Dr Arif Fahmi Md Yusof merupakan pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )