Menteri Pendidikan Malaysia hadiri Sidang Kemuncak WISE 2019 di Doha
DOHA,. Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik kini berada di Doha, Qatar bagi menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Pendidikan (WISE) 2019.
Sidang kemuncak yang bertemakan “UnLearn, ReLearn: What it means to be Human”, itu bermula hari ini hingga 21 Nov.
Ketibaan Maszlee pada Isnin malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad disambut oleh Setiausaha Pertama di Kedutaan Malaysia di Qatar, Firdaus Akhimullah al-Hakim Ramly serta pegawai kedutaan.
Jadual Maszlee pada Selasa termasuk pertemuan dengan Dekan Universiti Georgetown, Dr Ahmad Dalal antaranya bagi mengenal pasti bidang yang boleh diterokai pada masa akan datang.
Beliau juga dijadual menghadiri sesi pleno Sidang Kemuncak WISE 2019 di Pusat Konvensyen Nasional Qatar.
Maszlee juga akan menghadiri jamuan tengah hari dan pembincangan meja bulat peringkat menteri mengenai penggubalan dasar Agile dan pelaksanaannya.
Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat dan wakil daripada negara lain.
Lebih 1,500 pakar, penyelidik dan inovator dari seluruh dunia akan berkumpul pada platform antarabangsa dwitahunan itu yang bertujuan memupuk kerjasama dan mencari jalan menangani cabaran pendidikan global yang mendesak.
— BERNAMA
Daripada Chandravathani Sathasivam