Menteri Perhubungan Indonesia disahkan positif COVID-19

Menteri Perhubungan Indonesia disahkan positif COVID-19

JAKARTA,. Seorang menteri di Indonesia disahkan positif COVID-19.

Menteri Perhubungan (Pengangkutan) Budi Karya Sumadi dinyatakan sebagai kes positif ke-76 dan kini dirawat di Rumah Sakit Pusat Angkatan Tentera Darat (RSPAD) Gatot Soebroto di Jakarta.

Pengesahan kes itu dibuat Menteri Sekretaris Negara Indonesia Prof Dr Pratikno dalam satu sidang akhbar yang disiarkan secara langsung stesen televisyen tempatan, malam ini.

“Atas izin (kebenaran) keluarga, (kes ke-76) yang dimaksudkan (adalah) Pak Budi Karya Sumadi (Menteri Perhubungan),” kata Pratikno.

Budi Karya, 63, menjawat jawatan itu sejak 2016.

Sejak Indonesia mencatatkan kes positif pertama pada 2 Mac lepas, jumlah kes setakat hari ini sebanyak 96 kes, dengan lima kes kematian dicatatkan setakat malam ini.

— BERNAMA

Oleh Mohd Shukri Ishak

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )