Menu klasik negeri berjiran pilihan di Restoran Terapung Sungai Linggi

Menu klasik negeri berjiran pilihan di Restoran Terapung Sungai Linggi

ALOR GAJAH,. Sungai Linggi di sini yang bersempadan dengan dua negeri iaitu Melaka dan Negeri Sembilan bukan sahaja memberi keunikan dari segi geografi, tetapi juga menawarkan juadah enak untuk dicuba.

Kawasan sungai itu yang menjadi habitat hidupan sungai terutamanya udang galah memberi inspirasi kepada pemilik Restoran Terapung Sungai Linggi, Noor Alisa Ann Md Samian, 40, bagi menghidangkan menu klasik dari Negeri Sembilan iaitu masak lemak untuk dinikmati pengunjung terutamanya pelancong dan kaki pancing.

“Memandangkan udang galah ialah hidupan paling banyak didapati di sekitar Sungai Linggi dan lokan pula signature kawasan ini, jadi saya gabungkan dua hidupan sungai ini untuk menjadi menu tarikan.

“Jadi, kami tawarkan hidangan klasik iaitu masak lemak udang galah dan masak lemak cili api ikan siakap, manakala pelengkap bagi hidangan itu ialah lokan yang dimasak sama ada direbus atau dengan sambal,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Restoran Terapung Sungai Linggi @ Taman Lokan itu menerima kunjungan lebih 30 pengamal media dari Melaka dan Johor termasuk jemputan khas Tourism Malaysia Wilayah Selatan bagi memperkenalkan lokasi tarikan pelancongan di Melaka bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024.

Noor Alisa Ann berkata restoran yang baru beroperasi kurang dua bulan itu hanya menawarkan dua set hidangan dengan harga RM30 dan RM50, dan setakat ini sambutan amat menggalakkan.

“Rata-rata pengunjung yang tiba menggunakan perkhidmatan Eco Cruise Sungai Linggi atau tempahan secara persendirian yang dilakukan lebih awal. Setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad kami sediakan menu klasik, manakala pada hari biasa kami tawarkan masakan panas (gorengan) buat pelancong atau kaki pancing yang singgah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)