Meraikan Kejayaan Wanita Dalam Pengajian Tinggi Sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia

Meraikan Kejayaan Wanita Dalam Pengajian Tinggi Sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh :
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, keterlibatan kerap saya bersama-sama dengan anak-anak muda telah membuka mata bahawa pandangan rakyat Malaysia mengenai stereotaip terhadap jantina sudah berubah. Melihat seorang lelaki yang gemar memasak atau seorang wanita yang suka membincangkan perihal politik bukan perkara yang asing. Jurang perbezaan peranan seseorang lelaki atau wanita di sekolah, rumah, tempat kerja, mahupun dalam sesebuah masyarakat tidak lagi ketara seperti dahulu.

Anak muda Malaysia pada hari ini tidak lagi cenderung kepada stereotaip terhadap jantina mahupun percaya dengan kebiasaan lama. Wanita hari ini dilihat semakin berdikari, kuat, berani – bukan lagi lemah dan hanya mengikut arahan seiring dengan tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu #ChooseToChallenge yang menggambarkan gaya hidup milenial dan generasi Z.

Di Malaysia, 48.6 peratus daripada 32.7 juta rakyat Malaysia adalah wanita iaitu mewakili hampir separuh daripada populasi keseluruhan negara. Wanita Malaysia memainkan peranan yang sangat besar dalam meningkatkan pembangunan negara dan juga kesejahteraan sosio-ekonomi sesebuah institusi kekeluargaan. Salah satu perubahan ketara di Malaysia kebelakangan ini adalah peningkatan wanita di pasaran buruh. Pada tahun 2007, kadar penyertaan tenaga kerja wanita (LFPR) adalah cuma 46.4 peratus, namun pada tahun 2019, peratusan LFPR tersebut meningkat kepada 55.6 peratus.

Malaysia menyokong sepenuhnya 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terutamanya Matlamat ke-4 dan ke-5 yang menyasarkan pendidikan berkualiti serta mencapai kesaksamaan jantina melalui pemerkasaan lebih ramai golongan wanita serta kanak-kanak perempuan. Jumlah peningkatan golongan wanita yang cemerlang dalam pengajian tinggi menjadi bukti komitmen kami terhadap SDG ini.

Pada tahun 2020, jumlah wanita yang mendaftar di institusi pendidikan tinggi adalah seramai 357,087 mewakili 61 peratus daripada jumlah mahasiswa yang mendaftar di institusi awam serta seramai hampir 53 peratus daripada 537,434 mahasiswa yang mendaftar di institusi swasta.

Hasil kajian mengenai Ketidakseimbangan Jantina yang telah dijalankan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), mendedahkan bahawa peningkatan pendidikan wanita telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi sekitar 50 peratus di negara-negara OECD sejak 50 tahun yang lalu. Ini adalah bukti bahawa negara adalah diperkasakan apabila golongan wanita turut diperkasakan.

Kejayaan hasil pemerkasaan wanita dan kesaksamaan dalam ekosistem pendidikan tinggi Malaysia juga tidak dapat dinafikan. Di institusi pendidikan tinggi awam, lebih daripada 55 peratus ahli akademik adalah wanita yang telah berjaya dalam pelbagai bidang pengajian.

Pada tahun 2020, antara salah seorang wanita berpencapaian tinggi yang berjaya mencipta sejarah akademik adalah Profesor Madya Dr. Chan Yoke Fun, Ketua Jabatan Mikrobiologi Perubatan di Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Penyelidikan Dr. Chan mengenai penyakit Tangan, Kaki dan Mulut telah berjaya menghasilkan vaksin untuk memerangi virus dan penyakit jangkitan otak di kalangan kanak-kanak.

Hasil daripada penyelidikan itu, beliau telah memenangi anugerah berprestij ASEAN-US Science Prize for Women, 2020 serta turut menerima penghargaan dari ASEAN Committee on Science, Technology, and Innovation (COSTI), The US Agency for International Development (USAID) dan Underwriters Laboratories.

Selain menunjukkan prestasi yang baik dalam arena yang dikecimpung, ahli akademik wanita juga telah menunjukkan kemampuan mereka memegang jawatan strategik dalam pentadbiran universiti. Pada tahun 2020, empat wanita telah dipilih untuk memangku jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor di tiga institusi pendidikan awam. Mereka merupakan, Prof. Dr. Noorsaadah Binti Abd Rahman (Universiti Malaya, UM), Prof. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor (Universiti Teknologi MARA), Prof. Dr. Suriani binti Abu Bakar dan Prof. Dr. Marzita binti Puteh (Universiti Pendidikan Sultan Idris).

Sokongan Malaysia terhadap pemerkasaan wanita dan kesaksamaan juga dapat dilihat di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) apabila lebih separuh daripada tenaga kerja KPT seramai 15,164 orang adalah wanita (56%). Selain itu, jawatan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti juga disandang oleh seorang wanita, iaitu Ts. Zainab bt Ahmad.

Ini jelas menunjukkan bahawa peranan wanita dalam sektor pengajian tinggi Malaysia memberi sumbangan dan impak yang besar dalam meletakkan negara kita sebagai hab pengajian tinggi antarabangsa di peta dunia.

Melihat bukti-bukti kejayaan ini, menjadi harapan saya agar kita semua berusaha ke arah pemerkasaan dan kesaksamaan wanita bukan hanya pada hari ini, tetapi pada setiap hari. Adalah mustahak untuk kita mengikuti jejak generasi muda kita yang #ChooseToChallenge stereotaip terhadap jantina. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas usaha anda, tidak kira seberapa kecil, yang telah menyumbang kepada peningkatan prestasi wanita di Malaysia dan di seluruh dunia.

Untuk semua wanita yang telah anda sokong, untuk saat-saat anda mendapat keberanian untuk bersuara mengenai kesaksamaan – ketahuilah bahawa anda telah menyumbang kepada kemajuan negara. Selamat Hari Wanita Sedunia!

— BERNAMA

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad merupakan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

-DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )