Mesej suara 63 individu di Guar Chempedak positif COVID-19 palsu

Mesej suara 63 individu di Guar Chempedak positif COVID-19 palsu

YAN,. Mesej pesanan suara yang tular dalam aplikasi WhatsApp menyatakan 63 individu di Guar Chempedak dekat sini disahkan positif COVID-19, adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar ketika dihubungi Bernama malam ini, berkata audio berdurasi 34 saat itu tidak benar, kerana pada masa ini jumlah individu di daerah berkenaan yang positif wabak berkenaan tidak seramai itu.

Mesej itu berupa suara lelaki yang berkata: “Assalamuaalaikum semua minta perhatian adik-beradik, tak sat (sebentar tadi) member IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah Yan) telefon depa (mereka) baru selesai mesyuarat, baru tak sat ja, statistik daripada Hospital Sultanah Bahiyah depa bagitau (beritahu), kawasan Guaq (Guar Chempedak) saja dok ada 63 orang positif COVID, kawasan Guaq saja.

“Minta semua adik-beradik yang ada kawasan Guaq apa semua, kawasan Yan, kawasan kampung kita, jangan keluar mana-mana minta perhatian. Tak sat baru dapat info daripada IPD”.

Sehubungan itu, Shahnaz meminta orang ramai tidak sesuka hati menyebarkan berita palsu sehingga boleh menimbulkan keadaan panik dalam kalangan orang ramai.

Beliau berkata segala statistik berkaitan COVID-19 hanya diumumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)