Mesyuarat Khas Menteri-menteri Buruh Asean bincang isu pekerja terjejas akibat COVID-19

KUALA LUMPUR,. Mesyuarat Khas Menteri-menteri Buruh ASEAN yang berlangsung hari ini membincangkan tindak balas dan inisiatif yang diambil oleh negara anggota ASEAN dalam meringankan bebanan yang ditanggung oleh pekerja dan majikan di rantau ini akibat penularan wabak COVID-19.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan malam ini berkata mesyuarat yang dipengerusikan menterinya Datuk Seri M. Saravanan diadakan melalui persidangan video di Putrajaya.

“Menteri-Menteri Buruh ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN Lim Jock Hoi turut menyertai mesyuarat khas ini manakala Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Guy Ryder telah berkongsi pandangan serta pengalaman daripada perspektif global mengenai kesan pandemik COVID-19 terhadap dunia pekerjaan termasuk peluang kerjasama dengan negara anggota ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya Saravanan telah berkongsi maklumat mengenai tindakan dan inisiatif yang diambil oleh Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Antara program di bawah tanggungjawab KSM adalah Program Subsidi Upah yang akan memberi manfaat kepada 8.1 juta pekerja. Bayaran Pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) pula akan meringankan beban majikan dan pelatih kemahiran,” kata KSM.

Dalam pada itu, mesyuarat itu juga bersetuju dan memperakukan kenyataan bersama oleh Menteri-Menteri Buruh ASEAN, antaranya menyentuh isu hak pekerja yang akan sentiasa dilindungi terutama dari segi pekerjaan, gaji, akses kepada kemudahan kesihatan, dan jaminan keselamatan.

Ini merupakan kali pertama Saravanan mempengerusikan mesyuarat di peringkat ASEAN sejak memegang jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia pada 10 Mac lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )