Mesyuarat MPT Bersatu bincang isu kesejahteraan rakyat

Mesyuarat MPT Bersatu bincang isu kesejahteraan rakyat

PETALING JAYA,. Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memfokuskan beberapa isu mengenai kesejahteraan rakyat selesai kira-kira pukul 11.45 malam tadi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meninggalkan ibu pejabat parti itu pada pukul 11.54 malam tadi berkata kenyataan rasmi mengenai butiran mesyuarat akan dikeluarkan Setiausaha Agong parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pagi esok.

“Setiausaha Agong akan mengeluarkan kenyataan rasmi. Kami telah membincangkan banyak perkara,” kata beliau yang merupakan Presiden Parti ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Sementara itu Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata mesyuarat malam ini membincangkan kepentingan rakyat, antara lain berkisar mengenai penularan COVID-19 dan banjir di beberapa negeri, selain rancangan untuk turun padang.

Terdahulu, Muhyiddin hadir bagi mempengerusikan mesyuarat pada pukul 8.25 malam.

Antara yang hadir ialah Naib Presiden parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, serta anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; dan Pengerusi Biro Perhubungan negeri Pahang Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut hadir Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, Ketua Penerangan Parti Wan Saiful Wan Jan, dan Naib Ketua Srikandi Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)