Mesyuarat tidak akan berlaku jika tiada mesyuarat awal dengan Najib – Ali Hamsa

KUALA LUMPUR,. Bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin bahawa mesyuarat penyelarasan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Feb 2016 tidak akan berlangsung jika mesyuarat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari sebelum itu tidak berlaku.

Semasa sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi pendakwaan keempat itu merujuk kepada mesyuarat di pejabat bekas perdana menteri itu pada 22 Feb 2016 dengan Najib menyatakan bahawa beliau tidak mahu dua versi penyata kewangan 1MDB dikemukakan dalam Laporan Pengauditan 1MDB.

Sebelum ini, Ali memberi keterangan bahawa semasa mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan beliau, terdapat empat isu dipersetujui untuk dipadamkan daripada laporan pengauditan 1MDB termasuk dua penyata kewangan berbeza.

Sri Ram: Sekiranya perjumpaan pada 22 Feb tidak berlangsung, adakah pertemuan 24 Feb akan berlangsung ?

Ali: Ia tidak akan berlaku kerana apabila perdana menteri (Najib) berjanji akan mengkaji secara menyeluruh, maka bekas (Ketua Audit Negara (Tan Sri Ambrin Buang) bersetuju untuk hadir pada mesyuarat 22 Feb.

Ali, 65, memberi keterangan dalam perbicaraan Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamadkan’ dan dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, 44, dituduh bersubahat dengan Najib membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 22 dan 26 Feb 2016.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semasa menjawab soalan pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Ali berkata bekas perdana menteri itu kelihatan kecewa pada mesyuarat itu yang turut dihadiri oleh Ambrin dan bekas ketua setiausaha sulit kepada Najib, Tan Sri Shukry Salleh.

Muhammad Shafee: Adalah anda tahu sebab mengapa Najib kecewa?

Ali: Sebenarnya tidak.

Muhammad Shafee: Anda lihat (Najib kelihatan kecewa) sebaik sahaja anda masuk ke bilik (pejabat Najib).
Ali: Ya

Muhammad Shafee: Walaupun anda meninggalkan bilik, anda tidak tahu apa yang mungkin menyebabkan perdana menteri kelihatan kecewa.

Ali: Saya tidak mendapat jawapan untuk itu, tidak ada yang menjelaskan kepada saya.

Saksi tersebut yang memegang jawatan itu sehingga Ogos 2018 sebelum bersara, juga berkata beliau dimaklumkan oleh Najib bahawa fakta akan disediakan apabila beliau mempengerusikan mesyuarat penyelarasan itu pada 24 Feb.

Disoal oleh Muhammad Shafee sama ada beliau memberi tekanan kepada Ambrin supaya meminda laporan audit itu, Ali mengulangi bahawa beliau tidak memberi tekanan kepada bekas ketua audit negara itu.

Muhammad Shafee: Jika ada orang mendakwa melihat Ambrin kelihatan keletihan dan hilang tenaga ketika meninggalkan bilik mesyuarat itu pada 24 Feb, apa komen anda?

Ali: Mesyuarat itu berakhir dalam keadaan mesra dan riang, saya mengiringinya ke pintu dan beliau kelihatan normal.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )