Meta akan pulihkan semula akaun Facebook, Instagram Trump

Meta akan pulihkan semula akaun Facebook, Instagram Trump

SAN FRANCISCO,. Meta pada Rabu mengumumkan syarikat itu akan memulihkan akaun Facebook dan Instagram bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam tempoh beberapa minggu akan datang sekali gus menamatkan penggantungan selama dua tahun, lapor Xinhua.

“Sekiranya Encik Trump terus menyiarkan kandungan yang melanggar syarat, kandungan itu akan dikeluarkan dan akaun digantung antara satu bulan hingga dua tahun, bergantung kepada tahap pelanggaran itu,” menurut naib presiden hal ehwal global Meta Nick Clegg dalam catatan blognya.

Meta mengeluarkan peraturan yang dikemas kini bulan ini yang terpakai kepada tokoh awam.

Facebook menggantung akaun Trump pada 7 Jan 2021, selepas beliau terus-menerus menyiarkan kandungan tentang pilihan raya November 2020 selepas penunjuk perasaan menyerbu pusat pentadbiran AS.

“Keputusan Meta hari ini merupakan detik penting dalam perdebatan mengenai kaedah terbaik untuk mengendalikan kandungan berbahaya yang disiarkan oleh ahli politik di media sosial,” menurut Lembaga Pemantauan Meta dalam catatan blog.

“Pemantauan bebas terhadap keputusan berkaitan ucapan di platform media sosial mendorong penubuhan Lembaga Pengarah bagi memastikan syarikat bertindak secara telus dan bertanggungjawab,” katanya
Sekatan terhadap akaun Twitter Trump turut ditarik balik baru-baru ini selepas Elon Musk mengambil alih syarikat itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)