Mexico beri suaka kepada bekas presiden Bolivia

Mexico beri suaka kepada bekas presiden Bolivia

PUERTO ESCONDIDO,. Mexico pada Isnin mengumumkan bahawa ia memberi suaka kepada bekas Presiden Bolivia Evo Morales, yang meletak jawatan pada hujung minggu susulan bantahan berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan dalam pilihan raya presiden bulan lepas, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Mexico telah memutuskan untuk memberikan (Morales) suaka atas alasan kemanusiaan. Di Bolivia, hidup dan integriti beliau adalah dalam bahaya,” kata Setiausaha Luar Marcelo Ebrard dalam satu sidang akhbar.

Kerajaan Mexico pada Ahad berkata ia akan menawarkan suaka kepada bekas presiden itu, namun Morales telah mengemukakan permohonan secara rasmi dan diberikan perlindungan pada Isnin petang.

Bolivia terjerumus dalam kancah kekacauan dengan para penunjuk perasaan yang membantah keputusan pilihan raya presiden pada Oktober yang menyaksikan Morales telah diisytihar sebagai pemenang buat kali keempat.

Selepas pilihan raya itu, penunjuk perasaan turun ke jalanan dan mendakwa terdapat penyelewengan dalam keputusannya.

Susulan tunjuk perasaan itu, Morales telah meletak jawatan pada Ahad.

Sejak awal, Mexico adalah antara negara yang menyokong Morales. Pada Oktober, wakil Mexico di Pertubuhan Negara-Negara Amerika berkata negara lain harus menghormati proses pilihan raya Bolivia.

“Mexico…tetap berhati-hati dan menghormati perkembangan proses pilihan raya itu dengan keyakinan bahawa ia adalah pilihan rakyat Bolivia (untuk menentukan keputusannya),” kata wakil Mexico Luz Elena Banos Rivas.

Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador turut memihak kepada Morales.

Beliau memuji bekas presiden Bolivia itu menerusi akaun Twitter kerana mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dan tidak membiarkan “rakyatnya terdedah kepada keganasan.”

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)