MFL: bimbang insiden penyokong langgar SOP jejas aksi final – Stuart Ramalingam

KUALA LUMPUR,. Isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 dikhuatiri mengundang kesan buruk kepada penganjuran perlawanan akhir pertandingan berprestij itu yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata kebimbangan itu disebabkan usaha keras kerajaan untuk mengawal penularan COVID-19 sekali gus menimbulkan risiko kebenaran kehadiran penonton ke stadium pada aksi final akan ditarik balik.

Malah, katanya impak lebih besar adalah penonton mungkin tidak dibenarkan ke venue pertandingan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Suka atau tidak, kita harus bersikap lebih matang dalam norma baharu kehidupan kita yang diancam COVID-19. Jadi, saya berharap penyokong memiliki sentimen sayangkan bola sepak negara dan sentiasa mengikut peraturan atau pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Sekali lagi saya berharap insiden-insiden yang mengaitkan pelanggaran SOP tidak akan kembali berulang untuk aksi timbal balik kedua Piala Malaysia 2021 yang akan berlangsung pada malam esok,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Paada Khamis, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan kompaun kepada penganjur perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia membabitkan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Isnin lepas.

Kompaun berjumlah RM10,000 masing-masing kepada Terengganu Football Club Sdn Bhd selaku tuan rumah dan MFL sebagai penganjur, kerana kegagalan memastikan pematuhan protokal am dalam pengurusan penonton dan penyokong iaitu penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna semasa aksi berlangsung.

Sementara itu, Stuart berkata MFL selaku penganjur amat kesal terhadap insiden pelanggaran pematuhan SOP itu.

“Kita seharusnya lebih peka terhadap kenaikan kes COVID-19 yang semakin meningkat. Saya berharap perkara seperti ini tidak akan kembali berulang di masa akan datang,” kata Stuart.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )