MFL nafi tidak ambil berat masalah jerebu

MFL nafi tidak ambil berat masalah jerebu

KUALA LUMPUR,. Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa pentadbir Liga Malaysia itu bersikap ‘lepas tangan’ selepas masih meneruskan pertandingan Piala Malaysia walaupun negara sedang dilanda jerebu ketika ini.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan mereka sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang insiden berkaitan jerebu yang boleh menjejaskan reputasi pertandingan bola sepak tertua tanah air itu.

“Antara langkah itu adalah ‘cooling break’ ketika perlawanan berlangsung di mana pemain akan diberikan rehat dalam tempoh selama tiga minit bermula minit ke-35 dan minit ke-70.

MFL juga sedang merancang untuk mendapatkan alat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi membolehkan bacaan IPU boleh dibuat terus di venue itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, MFL turut memaklumkan berdasarkan peraturan sedia ada, setiap pasukan yang bertanding dalam mana-mana kejohanan di bawah kelolaan MFL termasuk Piala Malaysia, diwajibkan menyediakan khidmat seorang doktor yang bukan sahaja bertindak memberikan rawatan kepada pemain terlibat, tetapi turut memberikan nasihat mengenai jerebu yang melanda di setiap venue berkenaan.

MFL menegaskan mereka akan menangguhkan mana-mana perlawanan sekiranya keadaan jerebu di venue berkenaan boleh mengancam kesihatan pegawai, pemain pasukan terlibat, petugas stadium mahupun penonton yang menyaksikan perlawanan berkenaan.

Pentadbir Liga Malaysia itu pada masa sama turut menasihatkan penyokong yang hadir ke mana-mana stadium untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka dan minum air kosong.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 33 kawasan di seluruh negara masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat pukul 6 petang hari ini.

Antaranya di Johan Setia, Klang yang mencatat bacaan 188, Nilai (174) di Negeri Sembilan, dan Putrajaya (152).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )