Microsoft rancang selesaikan rundingan pembelian Tiktok pada September

Microsoft rancang selesaikan rundingan pembelian Tiktok pada September

WASHINGTON,. Microsoft merancang untuk menyelesaikan rundingan dengan syarikat induk TikTok, ByteDance, berkaitan pembelian aplikasi perkongsian video yang berpangkalan di China itu selewat-lewatnya pada 15 September, lapor agensi berita Sputnik.

“Microsoft akan segera meneruskan perbincangan dengan ByteDance, dalam beberapa minggu untuk menyelesaikan perkara itu selewat-lewatnya pada 15 September 2020. Semasa proses ini, Microsoft berharap dapat meneruskan dialog dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) termasuk Presiden,” kata Microsoft dalam satu kenyataan pada Ahad.

Presiden Donald Trump memberitahu wartawan pada Jumaat, beliau merancang untuk mengharamkan TikTok beroperasi di AS, kerana ia dilihat berpotensi menjadi pesaing YouTube dan Facebook dan akan mempertimbangkan pilihan alternatif.

“Susulan perbualan antara ketua pegawai eksekutif (CEO) Microsoft, Satya Nadella dan Presiden Trump, Microsoft bersedia meneruskan perbincangan untuk meneroka pembelian TikTok di AS,” kata Microsoft dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, TikTok akan tertakluk kepada aspek keselamatan yang lengkap dan semua data peribadi pengguna TikTok Amerika akan dipindahkan ke AS. Ketelusan akan terpelihara dan adanya pengawasan kerajaan bertujuan untuk menjamin keamanan, kata Microsoft.

Sebelum Trump mengeluarkan kenyataan kemungkinan untuk mengharamkan TikTok, Microsoft sudah mengadakan perbincangan lanjut dengan ByteDance mengenai pembelian itu.

Pada awal Julai, Setiausaha Negara Mike Pompeo mengatakan pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan TikTok kerana masalah privasi.

Bagaimanapun, syarikat media sosial itu mendakwa data pengguna selamat dan tidak dikongsi dengan pihak berkuasa China.

Sementara itu, Beijing meminta Washington berhenti menggunakan mekanisme kerajaan untuk menekan syarikat China.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)