Mike intai gelaran Mr Universe kali keempat berturut-turut

Mike intai gelaran Mr Universe kali keempat berturut-turut

PETALING JAYA,. Jaguh bina badan negara, Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah menyasarkan untuk memburu gelaran keempat Mr Universe berturut-turut pada Kejohanan Bina Badan Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal November ini.

Beliau yang masih segar dengan gelaran Mr Asia kelima berturut-turut dalam kategori ‘Men’s Athletic Physique 165cm’ pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik ke-53 di Batam, Indonesia, baru-baru ini, mengakui kemenangan bermakna berkenaan, jelas menjadi pembakar semangat untuk dirinya mempertahankan kejuaraan kategori sama di Kompleks Sukan Zayed, Fujairah dari 5 hingga 10 Nov ini.

Atlet berusia 43 tahun itu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Mike’, bagaimanapun, tidak memandang rendah keupayaan pesaingnya dari Asia Barat yang dijangka memberi saingan sengit kepada dirinya di UAE nanti.

“Saya akan terus turun menjalani latihan seperti biasa, esok kerana saya hanya ada empat minggu sahaja sebelum mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut pada Kejohanan Dunia.

Saingan di Kejohanan Dunia lebih sengit berbanding beberapa edisi sebelum ini kerana saya difahamkan atlet yang bertanding di Indonesia, baru-baru ini akan turut menyertai kejohanan dunia,” katanya ketika ditemui pemberita setibanya dari Batam di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, hari ini.

Sebagai rekod, Mohd Syahrul Azman meraih kejuaraan Mr Universe dalam kategori sama sejak 2016.

Pandangan sama turut disuarakan atlet bina badan muda negara, Ahmad Faiz Ariffin, 26, yang turut mengintai peluang menamatkan kemarau kejuaraan dalam kategori ‘Men’s Athletic Physique 175cm’ pada kejohanan di UAE, nanti.

Beliau yang meraih emas dalam kategori sama di Batam, mengakui cabaran sengit bakal ditampilkan beberapa negara atlet terbaik Asia pada kejohanan di UAE nanti.

“Saya sangat bersyukur kerana meraih kejuaraan pada Kejohanan Asia buat julung kalinya setelah saya gagal dalam lima percubaan sebelum ini, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Persekutuan Bina Badan Malaysia dan juga beberapa penaja saya, keluarga saya dan rakan sepasukan saya,” jelasnya yang mula menceburi sukan bina badan sejak 2011.

Sebagai rekod, Malaysia meraih dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada kejohanan di Batam, Indonesia yang berlangsung dari 27 Sept sehingga 2 Okt.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )