
Mini KUD @ Sungai Besar pamer produk lebih 100 usahawan luar bandar dan Orang Asli
SUNGAI BESAR.. Himpunan produk dan hasil kraftangan usahawan Orang Asli dijangka menjadi tarikan utama sempena penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Sungai Besar yang diadakan selama tiga hari bermula semalam, di Stadium Sungai Besar, di sini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata Mini Karnival KUD @ Sungai Besar, melibatkan lebih 100 usahawan luar bandar termasuk 50 usahawan Orang Asli.
“Mini KUD kali ini akan menampilkan kelainan berbanding penganjurannya di Kedah dan Negeri Sembilan sebelum ini, dengan melibatkan gabungan Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) yang bermatlamat membantu usahawan Orang Asli meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata karnival itu juga menjadi antara platform bagi usahawan Orang Asli untuk memantapkan kemahiran berkomunikasi dan teknik jualan serta pemasaran bagi memperkukuhkan kekuatan produk dan perkhidmatan yang diusahakan.
“Sebagai fokus utama, Mini KUD @ Sungai Besar ini dan komponen KUOA akan mempamerkan budaya dan gaya hidup Orang Asli menerusi perkampungan mini Orang Asli, tarian sewang, aktiviti menyumpit, masakan dan minuman Orang Asli,” katanya.
Che Murad Sayang berkata dengan sasara seramai 10,000 pengunjung, karnival tersebut menawarkan jualan pelbagai produk termasuk makanan dan minuman, fesyen, kecantikan dan kesihatan, kraf tangan serta produk pertanian.
Selain itu katanya, pelbagai aktiviti menarik turut direncana untuk karnival tersebut termasuk demonstrasi masakan tradisi, e-sukan, persembahan artis tempatan dan aktiviti permainan tradisional.
Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Sungai Besar akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 11 pagi ini dan diiringi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
–BERNAMA