Minta, terima suapan babit pengurusan jenazah, 4 lagi individu ditahan SPRM

Minta, terima suapan babit pengurusan jenazah, 4 lagi individu ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu terdiri daripada penolong pegawai perubatan dan pembantu kesihatan kerana disyaki meminta serta menerima suapan berjumlah antara RM1,000 hingga RM4,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja pengurusan jenazah.

Menurut sumber, dua penolong pegawai perubatan berusia 37 dan 41 tahun serta dua pembantu kesihatan berusia 35 dan 38 tahun, ditahan kira-kira pukul 6 petang Isnin di SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kesemua suspek lelaki yang berkhidmat di salah sebuah hospital di Selangor dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan terbabit bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Seorang lagi suspek yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun bagaimanapun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pada 27 Mei lalu, dua pembantu kesihatan berusia 40 dan 42 tahun telah ditahan reman selama lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )