Misi kayuhan solo Merdeka 2020 Pak Wan dicatat dalam MBOR

Misi kayuhan solo Merdeka 2020 Pak Wan dicatat dalam MBOR

KOTA BHARU,. “Ini juga adalah satu cabaran kepada ‘orang muda’ kerana di usia sebegini, saya berjaya melakukan kayuhan solo mengelilingi Semenanjung,” kata Wan Hashim Wan Mahmood, 74.

Pengayuh basikal solo warga emas itu selamat tiba di rumahnya selepas menamatkan misi Kayuhan Solo Merdeka 2020 mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,318 kilometer (km) selama 23 hari.

Memulakan kayuhan pada 8 Ogos lepas, beliau tiba di rumahnya di Telipot, di sini semalam dengan disambut oleh ahli keluarga serta wakil RedOne, Daniel Leoh dan wakil Malaysia Book of Records (MBOR), Wan Taqwa Wan Nazi.

Dengan kejayaan itu, Wan Hashim yang dikenali sebagai ‘Pakwan’ dinobatkan dalam MBOR sebagai lelaki tertua di negara ini yang mengelilingi Semenanjung Malaysia sebanyak enam kali.

Mengulas mengenai kayuhan kali ini, Wan Hashim berkata cabaran paling getir yang dilaluinya adalah ketika mendaki Lebuh Raya Timur-Barat menerusi Banjaran Titiwangsa dalam masa sehari selama kira-kira 11 jam yang sebelum ini dilakukan dalam masa dua hari.

“Alhamdulillah …hasilnya dengan semangat yang ada saya berjaya di puncak dengan kayuhan (jarak) sejauh 80 kilometer (dari Gerik ke puncak banjaran),” katanya ketika ditemui pemberita.

Jelasnya, sebelum memulakan misi solo tersebut beliau menghadapi sedikit halangan daripada keluarga susulan negara masih dibelenggu pandemik COVID-19 dan juga faktor kesihatan dirinya.

“Sebelum melakukan misi ini, saya sudah pun memikirkan daripada pelbagai faktor termasuk umur dan tahap kesihatan. Saya tahu cabarannya amat besar tetapi saya tetap cekalkan hati dan menguatkan semangat sehinggalah misi tercapai,” katanya yang turut menasihatkan golongan muda supaya mendalami apa erti kemerdekaan dan membina negara dengan kebolehan masing-masing.

Mengimbas kayuhan sebelum ini, Wan Hashim berkata beliau pernah berkayuh selama 11 hari ke Kuala Lumpur pada usia 14 tahun untuk menyaksikan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan kata-kata keramat ‘Merdeka’ di Stadium Merdeka ketika sambutan Hari Kebangsaan pada 1960.

Ia sekali gus menjadi pembakar semangat padanya untuk misi seterusnya iaitu kembali ke stadium tersebut suatu hari nanti dengan berbasikal sebagai bukti cintanya kepada negara yang tidak berbelah bahagi.

Wan Hashim mencipta rekod MBOR kali pertama pada 2014 sebagai lelaki tertua di negara ini berjaya membuat kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 kilometer (km).

Beliau turut mencatatkan nama dalam MBOR pada 2015 dan 2017, serta dua tahun lepas bagi jarak paling jauh 5,319 km bagi kayuhan basikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah Malaysia. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)