MITA rayu subsidi diesel diberi kepada pengusaha bas persiaran

MITA rayu subsidi diesel diberi kepada pengusaha bas persiaran

PUTRAJAYA: Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) hari ini merayu agar kerajaan mempertimbang pemberian subsidi diesel kepada pengusaha bas persiaran.

Presiden MITA Leong Hoon Min berkata ini kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kos operasi bas persiaran meningkat secara mendadak sekali gus membebankan para pengusaha dan memberi impak kepada tempahan awal pelancong.

“Kenaikan harga diesel RM1.20 memberi kesan kepada harga pakej pelancongan yang telah ditempah awal, yang mungkin berdepan dengan pembatalan.

“Kita juga sedia maklum bahawa industri pelancongan juga baru sahaja pulih secara berperingkat selepas pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media berhubung pemberian subsidi diesel kepada pengusaha bas persiaran di sini hari ini.
Beliau berkata keputusan kerajaan yang tidak memanjangkan subsidi diesel kepada pengusaha bas persiaran agak ‘mengejutkan’ justeru pihaknya memohon agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memanjangkan harapan MITA kepada kementerian berkaitan.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata untuk tempoh seterusnya, harga diesel akan diumum setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan dan kerajaan terus memantau keadaan bagi mengelakkan ketidakstabilan harga.

Senada dengan Leong, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia Chong Sin Wah berkata kenaikan harga diesel secara tidak langsung mungkin menyumbang kepada kemerosotan industri pelancongan dalam negara.

“Sebut harga pakej dan kontrak yang telah dikeluarkan kepada pelanggan pada bulan ini juga tidak sempat ditarik balik kerana pembayaran penuh sudah dibuat,” katanya.

Terdahulu, Leong dan Chong bersama-sama lebih 20 pengusaha bas persiaran menyerahkan surat rayuan berhubung permohonan subsidi diesel kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di bangunan MOTAC di sini.

Surat itu diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Mohd Yusri Mohd Yusoff.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)