MMA puji inisiatif #MyMudah untuk kurangkan karenah birokrasi

MMA puji inisiatif #MyMudah untuk kurangkan karenah birokrasi

KUALA LUMPUR,. Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memuji kerajaan kerana bersetuju untuk mewujudkan inisiatif Malaysia Mudah atau #MyMudah yang bertujuan untuk mengurangan beban pengawalseliaan dan meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

Presidennya, Dr N Ganabaskaran berkata ia akan turut melibatkan pengurangan beban pengawalseliaan di pusat penjagaan kesihatan swasta.

Beliau berkata, sektor penjagaan kesihatan swasta juga menyumbang kepada jumlah perbelanjaan keseluruhan penjagaan kesihatan.

“Seramai 7,000 pengamal perubatan am swasta menyumbang hampir 10 peratus kepada keseluruhan perbelanjaan penjagaan kesihatan dengan lebih daripada 60 juta pesakit melawat dalam setahun, 35,000 peluang pekerjaan dan industri sokongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Nexus Produktiviti Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) juga berusaha mengurangan beban pengawalseliaan di klinik-klinik pengamal perubatan swasta.

“Pusat sehenti dengan automasi proses sememangnya akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Menerusi pendekatan ini MPC telah berjaya memecahkan budaya bekerja bersendirian (silo) dan membawa agensi berbeza dalam proses kawal selia untuk duduk semeja dan menyelesaikan isu,” katanya.

Menurut beliau produktiviti adalah faktor terpenting dalam pertumbuhan jangka panjang sesebuah negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)