MNSC minta kerajaan campur tangan lindungi pekapal daripada amalan tidak adil

MNSC minta kerajaan campur tangan lindungi pekapal daripada amalan tidak adil

KUALA LUMPUR,. Majlis Perkapalan Kebangsaan Malaysia (MNSC) menggesa campur tangan kerajaan untuk mengawal selia penyedia perkhidmatan, caj dan amalan tidak adil dalam sektor pengangkutan maritim.

Pengerusinya Datuk Dr Andy Seo berkata campur tangan Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) adalah penting untuk memastikan pekapal berupaya mengharungi dan bertahan ketika tempoh yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan jika gagal, akan memberi impak yang menjejaskan ekonomi negara.

Beliau berkata MNSC kesal kerana sektor tidak dikawal selia dalam rantaian bekalan logistik seperti syarikat perkapalan, pengangkut biasa bukan kapal dan pengendali depot cuba mengaut keuntungan daripada pekapal dengan melakukan amalan tidak patut berbanding mengawal caj mereka disebabkan cabaran seumpama ini yang tidak pernah terjadi kepada pengimport dan pengeksport sebelum ini.

“Tindakan tidak bertimbang rasa dalam mengenakan caj tidak dapat dijustifikasi dan tinggi dalam keadaan yang mencabar ini tidak boleh diterima dan menggagalkan inisiatif kerajaan dalam memulihkan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada awal tahun ini MOT dan Lembaga Pelabuhan Kelang telah mengumumkan bahawa syarikat perkapalan tidak lagi dibenarkan mengutip deposit cek daripada pekapal, sebaliknya mempunyai pilihan untuk memanfaatkan alternatif seperti deposit bukan cek oleh Persatuan Logistik dan Pengangkutan Selangor (SFFLA), akaun lejar kontena dan iCARGO+.

“Malangnya, beberapa syarikat perkapalan dilaporkan enggan mematuhi keputusan itu.

“Mereka secara terang-terangan tidak menghiraukan pengumuman itu dan desakan berterusan mereka meminta surat tuntutan hak milik (LOI) tambahan daripada pengimport dan ejen pengangkutan, menunjukkan sikap tidak hormat dan keingkaran kepada undang-undang tempatan dan keputusan yang dibuat pihak berkuasa,” katanya sambil menambah terdapat peraturan bahawa cek yang dikeluarkan kebiasaannya mempunyai tempoh sah selama enam bulan.

“Ini juga konsisten dengan keputusan Bank Negara Malaysia. Namun, syarikat perkapalan telah mengurangkan tempoh sah cek selama empat bulan sebagai deposit kontena,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )