Model ekonomi BCG adalah hala tuju untuk merealisasikan Wawasan Putrajaya 2040

Model ekonomi BCG adalah hala tuju untuk merealisasikan Wawasan Putrajaya 2040

BANGKOK,. Model ekonomi Bio-Circular-Green (BCG) akan berfungsi sebagai hala tuju untuk mencapai sasaran kemampanan dan matlamat hijau di rantau Asia Pasifik bagi merealisasikan Wawasan Putrajaya 2040.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, dari perspektif pertumbuhan mampan, model ekonomi BCG melakarkan laluan ke arah kesejahteraan ekonomi yang disokong oleh elemen hijau dalam merealisasikan Wawasan Putrajaya serta menyatukan peranan APEC sebagai penyokong teguh kemampanan dan keterangkuman.

“Hari ini, langkah-langkah ekonomi dan dasar alam sekitar bergerak secara bersama. Elemen ini tidak lagi saling eksklusif.

“Dalam hal ini, saya ingin menegaskan semula bahawa, dalam konteks domestik kita, pertumbuhan mampan dan mengurangkan perubahan iklim menjadi keutamaan yang tinggi dalam agenda nasional kita (Malaysia).

“Mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030 adalah salah satu keutamaan penting di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-29 di Bangkok semalam.

Beliau turut berkongsi inisiatif Malaysia melalui pelancaran Dasar Tenaga Negara, yang menggariskan tindakan ke arah peralihan tenaga serta mekanisme untuk memanfaatkan teknologi baru muncul dan menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata model ekonomi BCG boleh menjadi kunci untuk memudahkan aliran pelaburan berkualiti ke dalam sektor teknologi tinggi dan industri inovatif.

Sebagai permulaan, beliau berkata, model BCG berkemungkinan akan menggalakkan pelabur untuk memasukkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam operasi, mempromosikan kelakuan perniagaan yang beretika dan menarik pelaburan yang lebih mampan ke rantau Asia-Pasifik.

“Dengan memacu agenda ESG dan meningkatkan kerja berterusan dalam Perniagaan serta Pelaburan Inklusif dan Bertanggungjawab (IRBI), APEC berada di landasan untuk mewujudkan titik rujukan serantau untuk kedua-dua sektor awam dan swasta yang memulakan inisiatif pembangunan mampan,” katanya.

Mohd Zuki berkata memandangkan Malaysia baru-baru ini mengemas kini dasar pelaburannya, dengan tumpuan khusus pada ESG, Malaysia berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan belajar daripada, sesama ekonomi APEC.

“Bertukar-tukar pandangan sebegini boleh memudahkan penyusunan pengetahuan umum dan pengalaman bersama daripada kita semua, yang kemudiannya boleh disaring kepada amalan terbaik untuk rantau ini,” tambahnya.

Mohd Zuki merupakan Wakil Khas Perdana Menteri yang mengetuai delegasi negara ke AELM ke-29.

Sidang kemuncak yang bertemakan “Open. Connect. Balance,” adalah sidang kemuncak pertama kumpulan itu dalam tempoh empat tahun.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)