
MOF Nafi Dakwaan Kenaikan Drastik Harga Kenderaan pada 2026
KUALA LUMPUR, 11 Februari 2025 – Kementerian Kewangan (MOF) menafikan laporan yang mendakwa harga kenderaan akan meningkat secara mendadak mulai 2026 susulan pelaksanaan penuh peraturan cukai eksais baharu, P.U.(A) 402/2019. MOF menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak tepat kerana perbincangan masih berjalan dengan Kementerian Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan serta pihak industri automotif bagi menilai semula kaedah penilaian kenderaan.
“MOF masih belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung perkara ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Penangguhan Semakan Duti Eksais OMV
Sebelum ini, sebuah portal berita kewangan tempatan melaporkan bahawa industri automotif diberikan lanjutan tempoh bagi semakan duti eksais terhadap kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sehingga 31 Disember 2025. Laporan tersebut turut menyatakan bahawa selepas 2026, kemungkinan besar tiada lagi lanjutan, yang berpotensi menyebabkan kenaikan harga kenderaan.
Portal automotif tempatan WapCar pula melaporkan bahawa Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengesahkan semakan duti eksais ke atas nilai pasaran terbuka (OMV) ditangguhkan sehingga Januari 2026.
“Penangguhan ini bersifat sementara, dan sekiranya semakan duti eksais OMV diteruskan, harga kenderaan dijangka meningkat antara 10 hingga 30 peratus,” menurut laporan itu.
MOF memberi jaminan bahawa sebarang keputusan yang diambil akan mempertimbangkan kepentingan pengguna serta memastikan sistem percukaian yang lebih adil, seragam, dan konsisten dalam industri automotif negara.