Mohd Hafarizam tidak mengaku terima wang haram RM15 juta daripada Najib

Mohd Hafarizam tidak mengaku terima wang haram RM15 juta daripada Najib

KUALA LUMPUR,. Tidak sampai sejam dilepas tanpa dibebaskan daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram juga membabitkan nilai sama yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam itu yang juga Penasihat Undang-undang UMNO, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hafarizam, 48, didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang berjumlah RM7.5 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 16 April 2014, yang telah dimasukkan ke dalam akaun bekas firma guamannya iaitu Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

Peguam itu yang banyak mewakili Najib dalam kes saman sivilnya, didakwa melakukan perbuatan tersebut di CIMB Bank Berhad, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini, pada 17 April 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Hafarizam didakwa menerima wang berjumlah RM4 juta dan RM3.5 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 7 Nov 2014 dan 21 Jan 2015 yang telah dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 12 Nov 2014 dan 12 Feb 2015 di tempat sama, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Sept depan untuk sebutan semula kes.

“Tertuduh perlu membayar deposit sebanyak RM5,000 pada hari ini manakala bakinya perlu dibayar esok sebelum 12 tengah hari,” katanya yang turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kesnya selesai.

Terdahulu, ketika rayuan untuk pengurangan jaminan, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam memohon kepada mahkamah supaya membenarkan anak guamnya diikat jamin RM200,000.

“Untuk makluman hakim, wang jaminan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini iaitu RM500,000 masih ada dalam simpanan mahkamah, saya mohon supaya untuk pertuduhan yang baharu ini jumlah jaminan yang ditetapkan lebih rendah. Anak guam kami juga baru sahaja membuka firma guaman persendirian namun ekoran wabak COVID-19 yang melanda negara kini ia telah memberi kesan terhadap firma guamannya,” katanya.

Tambah Hasnal Rezua, anak guamnya bukanlah seorang yang berisiko melarikan diri kerana sebelum ini beliau telah diberi kebenaran untuk ke United Kingdom dan telah pulang ke tanah air pada waktu yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff yang mengendalikan pendakwaan tidak membantah cadangan ikat jamin tersebut.

Terdahulu di Mahkamah Tinggi di sini, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali melepas tanpa membebaskan Mohd Hafarizam daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang turut memaklumkan bahawa mereka akan memfailkan pertuduhan baharu terhadapnya di Mahkamah Sesyen.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )