MOM lulus dana COVID-19 kedua berjumlah RM300,000

KUALA LUMPUR,. Jawatankuasa Pengurusan Amanah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dipengerusikan presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria telah meluluskan penubuhan dana COVID-19 kedua berjumlah RM300,000, hari ini.

MOM menerusi satu kenyataan memaklumkan persatuan sukan kebangsaan (NSA) boleh memohon dana itu mulai esok dan seterusnya, dan ia dijangka disalurkan pada minggu pertama November ini.

“Ia (dana) akan dihadkan kepada RM10,000 untuk ahli gabungan MOM dan RM5,000 untuk ahli bersekutu.

“Dana ini bertujuan membantu NSA menampung perbelanjaan pentadbiran mereka ketika negara sedang berdepan gelombang ketiga pandemik COVID-19. NSA mungkin boleh menggunakan dana tersebut untuk membayar sewa pejabat, gaji dan elaun pekerja, jurulatih serta atlet,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut meluluskan geran berjumlah lebih RM300,000 kepada 18 NSA, membabitkan 10 ahli gabungan dan lapan ahli bersekutu, bagi penganjuran kejohanan, seminar pendidikan, kem latihan, program akar umbi dan pembelian peralatan sukan.

“Jawatankuasa mengambil maklum dengan ketidaktentuan pada masa depan dan beberapa acara yang dijadualkan berkemungkinan ditangguhkan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang ditetapkan kerajaan,” menurut MOM.

Pada 17 April lepas, badan induk sukan itu menubuhkan dana COVID-19 pertama berjumlah RM300,000, yang telah memberi manfaat kepada 23 ahli gabungan dan tujuh ahli bersekutu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )