Money Compass lancar platform “CELIK WANG” dalam bahasa Malaysia

Money Compass lancar platform “CELIK WANG” dalam bahasa Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Money Compass Media Group melancarkan “CELIK WANG”, sebuah platform media baharu yang dikendalikan dalam Bahasa Malaysia yang akan memberi tumpuan kepada berita korporat dan kewangan tempatan dan asing serta isu-isu berkaitan kewangan terkini yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amy Seok berkata Celik Wang, yang telah beroperasi sejak awal 2020, adalah platform media berita ketiga yang ditubuhkan oleh kumpulan dengan dua platform sebelumnya dikendalikan dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris.

“Kami gembira dapat mewujudkan platform berita baharu yang dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia. Celik Wang bertujuan membantu mencapai misi kumpulan untuk meningkatkan celik kewangan rakyat Malaysia dari semua kaum dan latar belakang.

“Dalam tempoh tidak menentu ini, celik kewangan amat penting untuk orang ramai mengurus kehidupan mereka dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran platform tersebut di sini, hari ini.

Beliau berkata Celik Wang juga bertujuan sebagai platform sehenti kepada pemilik dan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapat maklumat, panduan dan petua mengenai cara untuk membangunkan strategi dalam meningkatkan perniagaan mereka serta memberi panduan buat mereka yang merancang untuk memulakan perniagaan sendiri.

Selain menyediakan liputan berita mengenai dunia kewangan dan korporat, Amy berkata Celik Wang menyediakan kandungan dan maklumat mengenai pelaburan, ekonomi dan hartanah yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dari semua latar belakang untuk membantu meningkatkan lagi pengetahuan dan kesejahteraan mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )