Morbidelli raih kemenangan sulung di GP San Marino

Morbidelli raih kemenangan sulung di GP San Marino

KUALA LUMPUR,. Perlumbaan Grand Prix Motosikal 2020 (MotoGP) menyaksikan pemenang sulung keempat musim ini selepas pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT), Franco Morbidelli memenangi Grand Prix (GP) San Marino, hari ini.

Menurut laman web rasmi MotoGP www.motogp.com, pelumba dari Itali berusia 25 tahun itu menamatkan perlumbaan 27 pusingan di Litar Dunia Misano sepanjang 4.226 km dalam masa 42 minit dan 02.272 saat (s), mendahului Francesco Bagnaia (+ 2.217s) dan Joan Mir (+ 2.290s) masing-masing dari Team Suzuki Ecstar dan Pramac Racing.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi rakan sepasukan dan juga pendahulu kejuaraan MotoGP, Fabio Quartararo dari Perancis yang gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh dan membolehkan Andrea Dovizioso dari Ducati Team, yang menamatkan saingan dikedudukan ketujuh, merampas kedudukan pendahulu dengan 76 mata.

Quartararo kini berada di tempat kedua dengan enam mata di belakang Dovizioso dan seorang lagi pelumba Ducati Team, Jack Miller dengan 64 mata, sementara Morbidelli berada di tempat ketujuh dengan 57 mata.

Selain Morbidelli, pelumba lain yang pernah meraih kejuaraan sulung kelas MotoGP musim ini termasuk Quartararo yang memenangi dua perlumbaan berturut-turut di Litar Jerez, Brad Binder dari Afrika Selatan (Red Bull KTM Factory Racing) dan Miguel Oliveira dari Portugal (Red Bull KTM Tech 3).

Perlumbaan hari ini juga menyaksikan pemenang berbeza yang kelima selepas enam perlumbaan musim ini yang dijadualkan semula ekoran penularan pandemik COVID-19.

Terdahulu dalam perlumbaan kelas Moto3, pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing John Mcphee dari Great Britain muncul juara dalam perlumbaan penuh dramatik selepas mencatat masa 39:48.952s walaupun bermula dari petak ke-17, sementara rakan sepasukan Khairul Idham Pawi, yang kembali beraksi selepas menjalani pembedahan jari kelengkeng tangan kanan, menamatkan perlumbaan di tempat ke-21.

“Saya tahu ia agak sukar untuk mara ke depan. Seawal pusingan pertama saya sudah memintas ke kedudukan ke-11, jadi saya terus tenang dan mencari peluang untuk ke depan. Saya amat gembira! Ia suatu impian menjadi kenyataan untuk berada di kedudukan teratas di sini selepas menghadapi pelbagai masalah pada perlumbaan lepas (di GP Austria),” kata Mcphee.

Dalam kelas Moto2, pelumba Petronas Sprinta Racing Xavi Vierge dari Sepanyol menamatkan perlumbaan di tempat keempat, 2.177s di belakang pemenang, Luca Marini dari Sky Racing Team VR46 yang mencatat masa 40:41.774s, sementara rakan sepasukan Jake Dixon dari Great Britain di tempat ke-16.

Pelumba Malaysia Kasma Daniel Kasmayudin dari Onexox TKKR SAG Team menamatkan saingan di tempat ke-20 manakala Hafizh Syahrin Abdullah yang mewakili Oceanica Aspar Team Moto2, yang kembali beraksi selepas pertembungan mengerikan di GP Austria pada 16 Ogos lepas, terjatuh ketika perlumbaan berbaki empat pusingan.

Pusingan kelapan kejuaraan dunia motosikal itu akan berlangsung dari 18-20 Sept di litar yang sama.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )