MOTAC sasar hingga 6 juta pelancong China melawat Malaysia tahun ini – King Sing

MOTAC sasar hingga 6 juta pelancong China melawat Malaysia tahun ini – King Sing

SEPANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjangkakan enam juta pelancong dari negara China akan melawat Malaysia pada tahun 2023.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, sasaran itu dua kali ganda daripada jumlah pelancong China melawat negara ini pada tahun 2019 iaitu 3.1 juta orang. “Saya berbincang dengan Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, tahun 2019 kita dapat 3.1 juta pelancong, kalau boleh tahun ini kita sasarkan dua kali ganda.

“Yang penting kita kerja keras bersama dan jangan pandang belakang, tetapi maju ke hadapan bersama mempromosikan Malaysia. “Saya rasa kita boleh dapat, untuk tahun ini boleh dapat sekurang-kurangnya lima hingga enam juta untuk pelancong China,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyambut ketibaan pelancong dari China sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
Mengulas lanjut, ujar King Sing, ketika ini negara China telah membuka pintu sempadan kepada kumpulan dalam perkhidmatan perlu (essential services) untuk melancong ke 20 buah negara termasuk Malaysia.

“Sekarang (China) sudah buka kumpulan pelancong yang boleh memohon untuk keluar dari negara China melancong di 20 negara termasuk Malaysia. “Saya ucapkan terima kasih kepada negara China bagi peluang kepada Malaysia, kita sama-sama dalam situasi menang-menang bagi sektor pelancongan.

“Dalam (fasa) endemik, COVID-19 masih ada mana-mana dunia ini, tapi kita kena percaya dan maju ke hadapan, dan semua pihak kena mainkan peranan terbaik menjaga kawalan kendiri. “Setakat ini, Malaysia masih selamat, pelancong luar negara masuk dan kita kena ambil peluang ini untuk terus mengorak langkah,” jelasnya lagi.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)