MOTAC Terus Perkasa Budaya Sarapan Malaysia melalui Program-Program Khas

MOTAC Terus Perkasa Budaya Sarapan Malaysia melalui Program-Program Khas

25 Januari 2025, / KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berazam untuk terus mempromosikan budaya sarapan Malaysia serta makanan warisan negara melalui pelbagai program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, dengan harapan untuk memastikan budaya ini terus dihargai dan dikenali di dalam dan luar negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, berkata usaha ini semakin diperkukuh selepas pengiktirafan budaya sarapan Malaysia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun lalu.

“Program-program yang kami anjurkan akan menggabungkan elemen makanan tradisional, termasuk dalam acara besar seperti sambutan Hari Kebangsaan. Selain itu, Pesta Angin Timur yang akan diadakan di Perlis juga akan menampilkan elemen makanan warisan yang kaya dengan budaya tempatan,” ujarnya pada sidang media Program Budaya Sarapan Malaysia: Sarapan Negeri Warisan Negara, yang diadakan oleh UTM (Universiti Teknologi Malaysia) Hotel and Residence bersama MOTAC dan Jabatan Warisan Negara (JWN) di sini hari ini.

Turut hadir dalam acara tersebut adalah Ketua Pengarah JWN, Mohamad Muda Bahadin, dan Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Shaharuddin menambah, program seperti ini memberikan peluang untuk mengetengahkan keistimewaan budaya sarapan Malaysia, terutamanya dalam persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Budaya sarapan tradisional Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, dan teh tarik yang telah diiktiraf oleh UNESCO tahun lalu harus dipromosikan lebih meluas. Program-program seperti yang dianjurkan oleh UTM dan Jabatan Warisan Negara adalah langkah penting untuk memperkenalkan dan memelihara warisan ini,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak pihak akan bekerjasama dalam usaha ini untuk memastikan makanan warisan negara tidak hanya dikenali di kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga dipelihara dan dihargai oleh generasi akan datang dan masyarakat antarabangsa.

Pada 5 Disember 2024, budaya sarapan Malaysia telah dimasukkan dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )