
MPIC minta CPOPC pergiat usaha perangi kempen negatif terhadap minyak sawit
KUALA LUMPUR,. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah meminta Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) untuk mempergiatkan usaha dalam memberikan naratif yang lebih berkesan untuk memerangi kempen negatif terhadap minyak sawit.
Ketua Setiausaha KPPK, Datuk Ravi Muthayah berkata negara pengeluar minyak sawit tidak seharusnya berpuas hati dan jangan sehingga tidak menyedari langkah dilakukan oleh pesaing.
“Mengamalkan unsur kelestarian berpaksikan kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) sangat penting dan CPOPC akan melakukan pendekatan yang lebih ofensif dengan membandingkan minyak sawit dengan minyak sayuran lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat bersempena dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ke-22 CPOPC.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Ravi dan Timbalan Menteri Makanan dan Agribisnis Indonesia, Kementerian Koordinator Hal Ehwal Ekonomi, Dr Musdhalifah Machmud.
Ia turut dihadiri wakil negara pemerhati CPOPC iaitu Colombia, Ghana, Honduras dan Papua New Guinea.
Ravi berkata Malaysia menyokong penuh penerapan Kerangka Prinsip Global untuk Minyak Sawit Lestari sebagai prinsip panduan bagi negara-negara anggota baharu dan sebagai contoh kepada tanaman minyak yang boleh dimakan yang lain.
“Untuk menjadikan usaha dan kerjasama lebih berkesan dan bermakna, saya menggesa anggota yang bakal menganggotai dapat mempercepatkan proses menyertai CPOPC,” katanya.
Sementara itu, Musdhalifah berkata CPOPC perlu memberikan perhatian serius dan merumuskan strategi yang lebih efektif bagi negara-negara pengeluar minyak sawit untuk mengatasi cabaran terhadap kempen negatif terhadap minyak sawit yang mampan.
Beliau meluahkan kebimbangan terhadap kempen negatif secara besar-besaran dan pelaksanaan pelbgai dasar dan peraturan yang menjejaskan pengeluaran dan perdagangan minyak sawit terutama di Kesatuan Eropah.
“Saya menyambut baik kemajuan yang dicapai oleh jawatankuasa saintifik kerana kajian dan penyelidikan berasaskan sains harus terus dipromosikan untuk mengatasi kempen negatif terhadap minyak sawit mampan,” katanya.
Musdhalifah berkata permintaan minyak sawit yang semakin meningkat dan trend kenaikan minyak sawit secara umum adalah trend positif tetapi negara-negara pengeluar menjangkakan kemungkinan kitaran harga minyak sawit mentah (MSM) melalui peningkatan penggunaan domestik sebagai sebahagian daripada alat pengurusan permintaan.
“Pengurusan harga minyak sawit yang mampan dapat dicapai dengan pelaksanaan program biodiesel,” katanya.
Mesyuarat juga membincangkan mengenai beberapa program dan aktiviti utama organisasi dan cadangan oleh CPOPC.
Sebilangan besar program keutamaan yang kenal pasti adalah berkaitan dengan mempromosikan kelestarian kelapa sawit termasuk usaha untuk membangunkan kapasiti pekebun kecil, projek penyelidikan dan program komunikasi dan advokasi.
— BERNAMA