
MSAP: Pengurangan harga setelah perjanjian ditandatangani antara pembekal perkhidmatan
PUTRAJAYA,. Pengurangan harga runcit bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berdasarkan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) hanya boleh dilaksanakan selepas perjanjian akses dimeterai antara pembekal perkhidmatan, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan buat masa ini, kebanyakan pembekal akses telah atau sedang dalam proses penerbitan Tawaran Akses Rujukan (RAO).
“Perundingan perjanjian akses akan bermula berdasarkan RAO yang diterbitkan dan dijangka akan selesai menjelang akhir September 2023.
“Oleh itu, pengurangan harga perkhidmatan jalur lebar boleh dijangka berlaku selepas itu,” menurut MCMC sebagai respons terhadap sebuah artikel portal teknologi bahawa kerajaan masih belum menguatkuasakan harga jalur lebar yang lebih murah selepas MSAP terkini yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2023.
Kerajaan telah melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap pada Februari tahun ini bertujuan untuk membantu golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya dan warga tua. Pakej ini disertai dengan kontrak langganan selama 24 bulan dan berharga RM69 sebulan, menyediakan kelajuan Internet sehingga 30Mbps dengan data tanpa had.
Menurut MCMC, pakej ini adalah 22 peratus lebih murah berbanding harga sedia ada untuk pakej serupa pada kelajuan yang sama, iaitu RM89, dan pelanggan akan menikmati penjimatan RM480 sepanjang tempoh kontrak melalui pakej ini.
Setakat ini, sebanyak 6,066 pengguna telah mendaftar untuk pakej Jalur Lebar Tetap.
Dalam pada itu, MCMC memaklumkan PPR/PA @MyKabel, yang menyasarkan membantu penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan golongan B40 dalam aktiviti digital harian mereka, telah memperkenalkan pakej berharga RM69 sebulan dengan kontrak selama 24 bulan, dengan kelajuan 100Mbps dengan data tanpa had, pada April lepas.
–BERNAMA