MSM pelbagaikan produk dengan pelancaran pemanis alternatif

KUALA LUMPUR,. Subsidiari tersenarai awam FGV Holdings Bhd (FGV), MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) terus memanfaatkan reputasi produknya yang berkualiti tinggi dengan pelancaran pemanis-pemanis baharu seperti Premium Prai, Go1/2 dan GoNatura.

Premium Prai adalah sukralosa berkalori rendah, Go1/2 dan pemanis campuran stevia GoNatura pula direka, bagi memenuhi trend gaya hidup sihat yang semakin mendapat permintaan.

Varian baharu ini memasuki pasaran pada Julai 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Datuk Khairil Anuar Aziz berkata Gula Prai merupakan jenama gula halus yang menjadi pilihan utama pengguna di Malaysia dengan penguasaan pasaran sebanyak 61 peratus.

“Selepas berada dalam perniagaan selama lebih daripada 50 tahun, kami perlu menyesuaikan diri dengan industri dan permintaan pengguna semasa, oleh itu produk baharu ini akan mengukuhkan kedudukan MSM sebagai pemimpin pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Agar konsisten dengan inisiatif pertumbuhan Kumpulan FGV, MSM, selepas melihat akses dan progresif pasaran, akan terus menggunakan strategi mampan yang mentakrifkan semula peluang. Lebih banyak produk dan peluang perniagaan yang akan diterokai pada tahun ini bagi mempelbagaikan aliran pendapatan kumpulan,” kata khairil Anuar.

Go1/2 adalah campuran gula dengan sukralosa, pemanis sifar kalori yang digunakan secara meluas untuk meningkatkan rasa dalam pelbagai produk makanan dan minuman termasuk minuman ringan. Walaupun ia 600 kali lebih manis daripada gula, bahan ini menyumbangkan rasa manis tanpa menambah kalori atau karbohidrat. Selain itu, Go1/2 mampu menyampaikan kemanisan dengan mengurangkan pengambilan gula kepada separuh sahaja.

Manakala, daripada menggantikan gula sepenuhnya dengan stevia, GoNatura menyampaikan kelazatan gula pada kadar yang lebih kecil melalui gabungan kemanisan semulajadi stevia. Campuran ini membolehkan pengguna menikmati rasa manis tetapi dengan pengambilan gula yang amat sedikit.

“Kami sedar bahawa pengguna hari ini amat mementingkan gaya hidup sihat. Malahan amat perlu bagi mewujudkan pilihan gaya hidup yang seimbang melalui penawaran penyelesaian pemanis alternatif kepada pengguna. Produk kami memberikan keseimbangan yang tepat untuk mengawal pengambilan gula tanpa menghilangkan selera pengguna kami.

“Pengembangan portfolio pengeluaran kami melalui produk baharu ini juga akan meningkatkan kadar penggunaan kilang penapisan baharu kami di Johor. Sekarang ini, kadar penggunaan adalah pada 34 peratus dan dijangka meningkat antara 48 peratus hingga 50 peratus bagi tahun kewangan 2020 berikutan pembangunan dalam segmen pasaran baharu serta kepelbagaian produk,” katanya.

Go1/2 dan GoNatura dibungkus dalam kotak kecil dengan 50 sachet setiap satu untuk simpanan yang lebih mudah.

Sekarang ini, kedua-dua produk boleh didapati di Elewsmart serta dalam talian melalui KedaiFGV di Shopee.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )