Muafakat Nasional Akan Terus Diperkasa Dengan Dinamika Politik Baru – Ahmad Zahid
TANJUNG MALIM, 24 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Muafakat Nasional bukan sahaja akan dipertahan malah akan terus diperkasakan dengan dinamika politik baru demi kepentingan rakyat dan negara.
Menurut beliau walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran yang timbul termasuklah usaha untuk menghancurkan Muafakat Nasional, insya Allah segala kekangan itu akan dihadapi dengan penuh tekad dan istiqamah untuk terus melihat kejayaannya pada masa depan.
‘’Insya Allah pada 14 September ini genaplah setahun kewujudan Muafakat Nasional. Walaupun setahun itu bukan satu tempoh yang panjang namun terlalu banyak cabaran baik dari dalam dan juga dari luar. Asalkan kita mempunyai tekad bahawa Muafakat Nasional harus diperkasa dan diperkukuhkan insya Allah Muafakat Nasional akan terus menjadi teras kepada kerajaan di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) PRU-15.
‘’Namun dinamika politik harus kita dakap…saya menyebut tentang 12 parti yang wujud yang mendokong kerajaan yang ada sekarang ini. Tentu perkahwinan yang baru setahun ini…perkahwinan politik ini pasti ada permasalahan dan kekangan yang harus kita hadapi dengan berjiwa besar dan berlapang dada.
‘’Istiqamah di kalangan pemimpin-pemimpin penting. Ianya serangan bukan datang daripada luar sahaja yang mahu melihat bahawa Muafakat Nasional harus dihancurkan, kita pun faham unsur-unsur dalaman pun ada. Tetapi demi ummah…demi rakyat…demi negara keseluruhannya UMNO dan PAS tidak akan pernah lari dan tidak akan membubarkan Muafakat Nasional malah akan diperkasakan biarpun dinamika politik ini terpaksa menggamit rakan-rakan yang lain,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada Ceramah Muafakat Nasional yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi lain kedua-dua parti serta rakan-rakan kepimpinan gabungan yang lain.
Ceramah tersebut merupakan sebahagian daripada kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim 29 Ogos nanti. PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu S. Santhasekaran, 44, dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38. Sebanyak 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK itu.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN seterusnya yakin Muafakat Nasional mampu memayungi rakyat dan negara ini.
‘’Kalau ada pun permasalahan, ini adalah permasalahan cabang…asalkan pokok politik itu bertunjangkan kepada akar tunjang yang kukuh, asalkan pokok politik itu mempunyai ranting-ranting yang kukuh. Biarpun kadangkala pokok yang tinggi di antara pokok-pokok yang lain lain, pokok itulah yang akan kena angin kencang atau petir namun akar yang kukuh itu iaitu UMNO dan PAS insya Allah pokok itu akan terus subur melindungi dan menaungi sebagai tempat berteduh ummah…rakyat dan negara ini,’’ ujarnya.
Dalam ucapannya itu juga Ahmad Zahid menegaskan bahawa PRK Slim sebagai satu ‘indicator’ untuk PRU-15 bahawa kerajaan yang ada hari ini bukanlah sebuah kerajaan pintu belakang.
‘’Saya bukan ‘nujum politik’ jauh dari sebagai ‘tukang tilik politik’ tetapi saya melihat bahawa tuduhan terhadap kerajaan sekarang ini kononnya kerajaan yang ditebuk dari atap atau masuk pintu belakang maka insya Allah mandat baru harus dicari bagi membuktikan bahawa kerajaan ini yang didokong oleh 12 parti yang berbeza akan membuktikan bahawa insya Allah seluruh pengundi…seluruh rakyat Malaysia akan memberikan mandat baru kepada kerajaan yang ada sekarang ini.
‘’Untuk itu manifestasi dan ‘indication’ daripada PRK Slim ini adalah sebagai asas untuk kita melihat bagaimana ‘trend’ kepada sokongan dan dokongan pengundi-pengundi. Kerajaan yang ada sekarang ini tidak ada manifesto kerana kita tidak menang berdasarkan manifesto tetapi insya Allah manifesto dan akujanji yang akan kita hidangkan kepada rakyat akan berlaku apabila Parlimen dibubarkan dan PRU-15 akan diadakan,’’ tambahnya.
– UMNO Online