Muhammad Rafiq, Nur Dhabitah, Olahragawan,Olahragawati Wilayah Persekutuan
PUTRAJAYA,. Jaguh boling lelaki negara, Muhammad Rafiq Ismail dan penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017/2018, di sini, malam ini.
Dengan kejayaan itu, kedua-dua atlet membawa pulang wang tunai masing-masing RM7,000, trofi, sijil serta pakej penerbangan sumbangan Malaysia Airlines (MAS) yang disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Penerjun berusia 20 tahun yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo, penampilan kedua selepas Rio 2016 itu, mengetepikan dua calon lain iaitu atlet gimrama Izzah Amzan yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Australia serta atlet pencak silat negara, Nor Hamizah Abu Hassan.
Ini merupakan kali kedua Nur Dhabitah menggondol anugerah tersebut selepas memenanginya pada edisi 2015/2016 dan pada 2018, beliau merangkul dua pingat gangsa di temasya Sukan Komanwel.
Dalam pada itu, Muhammad Rafiq Ismail, yang menggondol anugerah Olahragawan Kebangsaan 2018,berjaya menamatkan kemarau 39 tahun negara pada Kejohanan Dunia Lelaki apabila muncul juara edisi itu di Hong Kong, Disember, 2018.
Sementara itu, atlet gimrama Rayna Hoh Khai Long yang menyumbang empat pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) Perak tahun lalu diangkat sebagai Olahragawati Harapan, manakala pemenang empat emas dan dua perak di temasya sama, Virandeep Singh dari sukan kriket dinobatkan sebagai Olahragawan Harapan.
Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Persatuan Sukan berdasarkan beberapa faktor, antaranya kejayaan melahirkan atlet renang yang cemerlang pada temasya Sukma dan juga ketika mewakili negara.
— BERNAMA