Muhammad Sanusi dijangka MB Kedah baharu?

KUALA LUMPUR,. Nama Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor disebut-sebut sebagai Menteri Besar baharu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurut penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, pimpinan Pas dan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dipercayai bersetuju membawa nama Muhammad Sanusi untuk mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Memang sebelum ini kita dengar ada dua nama yang dibawa, iaitu satu daripada pimpinan Pas, satu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kalau daripada Pas, Muhammad Sanusi. Yang kedua, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail, anggota daripada Bersatu. Ini dua nama yang dilontar.

“Tetapi, yang terkini, bagi saya, mungkin pimpinan Pas dan pimpinan pusat bersetuju, membawa nama Muhammad Sanusi untuk dicadangkan kepada Tuanku Sultan,” katanya malam tadi.

Muhammad Sanusi merupakan Ahli DUN (ADUN) Jeneri sementara Ku Rahman adalah ADUN Guar Chempedak.

Semalam, 19 daripada 36 ADUN Kedah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz, merangkumi 15 ADUN Pas, dua UMNO dan dua PKR.

Sementara itu, berhubung perubahan angin politik di Kedah, Ahmad Martadha yang merupakan Ketua Kluster Tadbir Urus Dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, UUM itu menyifatkan ia satu langkah praktikal dan pragmatik.

Katanya, ia bagi memastikan bantuan-bantuan daripada peringkat kerajaan persekutuan dapat sampai terus kepada rakyat di kawasan-kawasan tertentu.

“Kita dapati, misalnya ADUN Kuah (Mohd Firdaus Ahmad) menyatakan bahawa walaupun berat untuk beliau membuat keputusan, tetapi ia dibuat memandangkan kepada percaturan politik yang praktikal.

“Iaitu, (kerajaan) pusat diperintah oleh PN, maka sewajarnya bagi beliau menyokong pimpinan pusat supaya bantuan akan terus dapat disalurkan kepada kawasan-kawasan beliau yang sangat memerlukan,” kata Ahmad Martadha.

–ASTRO AWANI

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )