Murray akan sumbang wang kemenangan 2022 kepada kanak-kanak Ukraine

Murray akan sumbang wang kemenangan 2022 kepada kanak-kanak Ukraine

ANDY MURRAY berikrar untuk menyumbangkan wang kemenangan yang dimenanginya sepanjang baki musim 2022 kepada kanak-kanak yang terkesan dengan pencerobohan Rusia di Ukraine.

Konflik itu telah mengakibatkan lebih dua juta individu meninggalkan negara itu sepanjang dua minggu lalu berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Badan induk tenis dunia, ATP dan WTA, termasuk Persatuan Tenis Antarabangsa (ITF) dan keempat-empat penganjur kejohanan grand slam, mengumumkan semalam bahawa mereka akan mendermakan dengan jumlah keseluruhan AS$700,000 (RM2.9 juta) bagi membantu usaha kemanusiaan di Ukraine.

Pemenang tiga gelaran utama, Murray, juga memainkan peranannya dengan bekerjasama rapat dengan UNICEF — badan dunia yang menguruskan bantuan buat kanak-kanak dalam perlindungan — untuk menyediakan bekalan perubatan dan kit tumbesaran kanak-kanak.

“Lebih 7.5 juta kanak-kanak berada dalam risiko daripada konflik yang kian memuncak di Ukraine,” tulis Murray dalam satu ciapan Twitter.

“Amat penting untuk pendidikan diteruskan, jadi UNCEF sedang bekerja keras untuk menyediakan akses kepada pembelajaran buat kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal, termasuk membantu daripada segi memulihkan sekolah-sekolah yang rosak dan penggantian peralatan dan perabot.

“Saya akan mendermakan pendapatan saya daripada wang kemenangan bagi baki musim sehingga penghujung tahun ini tetapi sesiapa sahaja di UK boleh menyokong usaha kemanusiaan UNICEF dengan menderma kepada pihak kami,” katanya.

-Astro Arena

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )