Muzium Perak sasar 50,000 pengunjung tahun ini

Muzium Perak sasar 50,000 pengunjung tahun ini

TAIPING,. Muzium Perak yakin dapat mencapai separuh daripada sasaran 100,000 pelawat sepanjang tahun ini akibat penularan wabak COVID-19, menurut pengarahnya Zarinah Sarifan.

Beliau berkata seramai 43,100 orang telah mengunjungi muzium itu bagi tempoh Januari hingga awal bulan ini dan optimis sasaran 50,000 mampu dicapai disebabkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 6 Dis lalu.

Katanya, faktor lain adalah cuti akhir tahun persekolahan bermula 18 Dis ini selain pameran Orang Asli ‘Identiti dan Tradisi’ yang sedang berlangsung sejak 20 Okt lalu hingga 30 Jun tahun depan.

“Pameran itu bertujuan untuk menyebarkan pengetahuan dan membina kefahaman tentang keunikan kebudayaan Orang Asli yang kaya dengan pelbagai adat dan nilai hidup yang mengisi sebahagian daripada khazanah warisan sejarah dan budaya Malaysia,” katanya kepada pemberita di Muzium Perak di sini, hari ini.

Zarinah berkata berdasarkan data tahun lalu, Orang Asli di Malaysia mewakili 0.7 peratus daripada penduduk negara dan mereka membabitkan tiga kelompok iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto.

“Generasi muda sewajarnya memanfaatkan pameran Orang Asli di sini kerana ia sukar untuk diperolehi,” katanya, yang turut bercadang mengadakan beberapa program persembahan kebudayaan dan bual bicara mengenai Orang Asli pada tahun depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )