MyBHA mohon kerajaan bantu pemilik hotel daripada impak COVID-19

MyBHA mohon kerajaan bantu pemilik hotel daripada impak COVID-19

KUALA LUMPUR,. Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) telah meminta kerajaan untuk segera merangka tindakan bagi melindungi pemilik dan pengendali hotel daripada kesan COVID-19.

Timbalan Presiden Kebangsaan MyBHA, Sri Ganesh Michiel berkata persatuan itu telah menerima banyak maklum balas negatif daripada anggota-anggotanya, yang mana, Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang diumumkan oleh kerajaan tidak mesra kepada pihak hotel.

“Institusi perbankan dan kewangan sering meminggirkan industri hotel kerana mereka beranggapan industri tersebut sebagai sektor yang berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan memperuntukkan RM5 bilion di bawah SRF untuk menyediakan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas oleh COVID-19.

Sri Ganesh, yang juga pengerusi biro teknologi komunikasi & maklumat dan perundangan nasional MyBHA, mendakwa pemilik hartanah sedang mengambil kesempatan daripada keadaan itu dengan menolak atau enggan membenarkan pengecualian atau memberi diskaun sewa kepada penyewa mereka yang telah melabur bagi menukar hartanah tersebut sebagai sebuah hotel.

Pemilik hotel juga bimbang bahawa kemungkinan mereka boleh kehilangan pemilikan hotel mereka, disebabkan kegagalan pembayaran sewa kepada pemilik hartanah, yang kini menikmati moratorium untuk pinjaman gadai janji mereka.

“Ini tidak adil memandangkan anggota kami yang sebenarnya menanggung kerugian,” katanya, sambil menambah langkah itu boleh membawa kepada penutupan perniagaan sesebuah hotel, peningkatan dalam kes perundangan, kebankrapan dan pembuangan pekerja.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)