
MyCEB lancar kempen ‘Meet in Malaysia’ untuk pacu industri acara perniagaan
PUTRAJAYA,. Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) hari ini melancarkan kempen ‘Meet in Malaysia’ untuk menyokong industri acara perniagaan dan pihak berkepentingan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Datuk Seri Abdul Khani Daud berkata kempen yang berlangsung sehingga Disember 2021 itu merangkumi dua inisiatif iaitu ‘Let’s Meet Tomorrow’ dan ‘Let’s Meet Locally’.
“Strategi yang ditetapkan MyCEB untuk industri kita adalah mengubah kesukaran menjadi kelebihan dengan merancang untuk jangka terdekat,” katanya pada pelancaran kempen ‘Meet in Malaysia’ yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri di sini, hari ini.
Beliau berkata program ‘Let’s Meet Tomorrow’ bertujuan membantu peserta industri merancang dan bersedia untuk acara perniagaan antarabangsa akan datang yang dianjurkan di Malaysia bagi delegasi antarabangsa dan akan dilaksanakan apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.
Sementara itu, program ‘Let’s Meet Locally’ akan mengalakkan syarikat supaya mengadakan acara dan mesyuarat mereka di negara ini, dengan MyCEB akan memberi sokongan dalam bentuk subsidi atau perkhidmatan, katanya.
MyCEB ditubuhkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 2009 untuk memperkukuh lagi jenama pelancongan perniagaan Malaysia dan mengetengahkannya kepada pasaran acara perniagaan antarabangsa.
— BERNAMA