Myfreeview: Golongan B40 dan OKU digesa daftar sebelum 31 Mei

Myfreeview: Golongan B40 dan OKU digesa daftar sebelum 31 Mei

kUALA LUMPUR,. Golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU) yang masih belum menerima set dekoder televisyen digital myFreeview, percuma digesa supaya segera membuat pendaftaran melalui saluran yang disediakan sebelum 31 Mei ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan golongan terbabit boleh menyemak kelayakan dan mengisi borang butiran diri yang lengkap iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat penuh serta nombor telefon.

Golongan terbabit boleh berbuat demikian di laman sesawang www.mytvbroadcasting.my/B40 atau hubungi MYTV Careline di talian 1800-18-1088/1-300-80-6988.

Menurut SKMM, setakat 25 Mei lepas, 157,276 individu terdiri daripada golongan B40 dan OKU telah mendaftar nama mereka untuk mendapatkan set dekoder myFreeview percuma.

Kenyataan itu berkata urusan penghantaran dekoder melalui perkhidmatan kurier akan dilaksanakan ke seluruh negara secara berperingkat mulai Jun selepas tarikh tutup 31 Mei ini.

“Inisiatif ini yang dilaksanakan dengan tambahan 300,000 unit dekoder yang ditanggung oleh kerajaan bertujuan memastikan tiada golongan yang tercicir dalam mengakses informasi dan hiburan secara mudah, percuma dan berkualiti melalui penyiaran TV digital,” menurut kenyataan itu.

MyFreeview ialah jenama platform televisyen digital, tanpa bayaran bulanan yang menampilkan 15 saluran televisyen definisi tinggi (HD) dan enam saluran radio.

Selain mendapat maklumat dan menikmati hiburan, saluran myFreeview juga memberi peluang kepada penonton dan peniaga untuk melakukan perniagaan melalui saluran membeli-belah dari rumah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)