MyKasih Kapital perkasa usahawan wanita

MyKasih Kapital perkasa usahawan wanita

SEPANG,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan RM2 juta bagi program MyKasih Kapital yang menyasar untuk memperkasakan usahawan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, program itu akan dilaksanakan melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan yayasan itu juga akan melakukan kajian penilaian keberhasilan ke atas usahawan yang telah menerima geran tersebut.

Rina yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata suntikan dana MyKasih Kapital akan bergantung kepada jenis perniagaan iaitu minimum RM500 dan maksimum RM1,000.

“Kajian itu pula akan menilai kesan impak sosial yang dihasilkan menerusi pemberian geran seperti jumlah pendapatan yang mampu dijana setiap penerima,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran MyKasih Kapital, di sini semalam.

Rina berkata, setakat ini pihaknya telah menerima hampir 12,000 permohonan dan pemohon akan disenarai pendek sebelum diberi geran.

“Sekiranya perlu, kami akan memohon dana tambahan daripada kerajaan bagi memanfaatkan lebih ramai wanita lagi,” katanya.

Permohonan MyKasih Kapital boleh dibuat menerusi https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScN38AiRaxxGVjsxHiOzWr4sD6-kF1r… dan bantuan akan diberikan tertakluk kepada terma dan syarat.

Seorang pengusaha rem-peyek Zaiti Norzaikah Sylong dari Kampung Giching di sini berkata geran yang diterimanya akan digunakan sebagai modal perniagaan dan bagi menyiapkan tempahan Hari Raya.

Ibu empat anak itu berkata, beliau memulakan perniagaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lepas memandangkan suaminya juga hilang punca pendapatan akibat COVID-19.

Sementara itu, Nornabila Natasha Abdullah, 21, yang mengusahakan warung makan di Bukit Changgang berkata beliau akan menggunakan dana itu untuk membeli perkakasan dapurnya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)