Najib akan mengetahui keputusanya hari ini berhubung rayuan SRC

Najib akan mengetahui keputusanya hari ini berhubung rayuan SRC

PUTRAJAYA,. Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusannya hari ini berhubung rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Keputusan itu dijadualkan disampaikan melalui dalam talian pada 9 pagi, berikutan bekas perdana menteri itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan, yang disahkan positif COVID-19.

Difahamkan pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram akan hadir dalam prosiding mahkamah terbuka itu.

Seramai 42 wartawan dari media tempatan dan asing telah diberi pas untuk mengikuti prosiding itu melalui pautan video di dewan persidangan dan 47 jurugambar dan jurukamera akan berada di lobi Istana Kehakiman untuk membuat liputan.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)