Najib ‘tiada pengetahuan’ mengenai RM42 juta wang SRC dalam akaun peribadinya – Peguam

Najib ‘tiada pengetahuan’ mengenai RM42 juta wang SRC dalam akaun peribadinya – Peguam

KUALA LUMPUR,. Pembelaan dalam kes perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan skandal penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai pengetahuan bahawa wang RM42 juta yang dipindahkan ke dalam akaun peribadinya adalah dari syarikat itu.

Peguam Harvinderjit Singh berkata seorang saksi pendakwaan iaitu bekas Pengarah SRC International Datuk Suboh Md Yassin telah memberi keterangan bahawa beliau hanya mengikut arahan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Nik Faisal Ariff Kamil untuk menandatangani cek bagi tujuan memindahkan wang itu ke akaun peribadi Najib.

Beliau berkata demikian semasa hujahan lisan di akhir kes pembelaan hari ini.

Harvinderjit juga berhujah bahawa pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh mempunyai kawalan dalam pindahan wang sebanyak RM42 juta yang didakwa milik SRC International ke akaunnya.

“Pendakwaan telah menukar asas pertuduhan mereka bahawa tertuduh telah memberikan tugasan untuk memasukkan wang RM42 juta milik SRC International ke dalam akaun peribadinya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, bekas setiausaha sulit beliau Allahyarham Datuk Azlin Alias dan Nik Faisal.

Peguam itu turut berhujah bahawa pertuduhan terhadap Najib adalah beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan wang sebanyak RM42 juta namun pertuduhan itu tidak menyatakan konspirasi.

“Jadi apa yang berlaku ialah pendakwaan mengubah suai kes mereka. Mereka membina keseluruhan kes di sekeliling fakta itu, menjadikan ia berlainan daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dikenakan terhadap Najib,” katanya.

Harvinderjit juga berkata pendakwaan tidak boleh secara konklusif membuktikan bahawa anak guamnya mempunyai pengetahuan bahawa wang RM42 itu adalah daripada SRC International.

“Terdapat bukti bagi menyokong kepercayaan dan pengetahuan Najib bahawa wang dalam akaunnya, pada masa yang material, adalah sumbangan kepadanya oleh kerabat diraja Arab Saudi,” katanya.

Beliau juga berkata bukti itu tidak menunjukkan kewujudan sebarang tindakan tertentu Najib yang membawa kepada atau menyebabkan transaksi RM42 juta tersebut, oleh itu tidak membuktikan sebarang penyelewengan dilakukan oleh bekas perdana menteri berkenaan.

“Ini bukan kes RM42 juta dalam akaun tertuduh. Jho Low memindahkan wang itu daripada SRC tanpa berada dalam syarikat tersebut. Anda tidak boleh menyatakan bahawa tertuduh melakukan jenayah itu dengan orang lain,” kata peguam itu.

Hujah pembelaan dipecahkan kepada lima bab dan menyentuh mengenai kausa dan tujuan transaksi RM42 juta yang menjadi inti pati pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu, serta kepercayaan beliau bahawa wang tersebut adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi, antara lain.

Pembelaan akan menyambung hujah mereka di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali esok.

Najib berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng dana sebanyak RM42 juta milik SRC International yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana itu.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Ambank Group Building, No 55, Jalan Raja Chulan di sini serta Pejabat Perdana Menteri, Presinct 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)