NAM punyai tanggungjawab besar mendepani cabaran global

NAM punyai tanggungjawab besar mendepani cabaran global

BAKU,. Berakhirnya Perang Dingin tidak mengurangkan peranan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dalam sistem hubungan antarabangsa, sebaliknya mengukuhkan lagi kepentingannya untuk mendepani dunia yang semakin mencabar, kata Menteri Luar Azerbaijan, Elmar Mammadyarov.

Mammadyarov berkata sejak sekian lama, NAM telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Katanya, sebagai pertubuhan politik antarabangsa kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, NAM menjadi platform rundingan politik dan kerjasama praktikal yang menyeluruh.

NAM kini mempunyai 120 negara anggota, 17 negara pemerhati dan 10 organisasi pemerhati.

“Hari ini, tugas utama menanti di hadapan, kita mesti terus aktif untuk mendepani realiti dalam landskap geopolitik semasa dengan mempromosi serta menegakkan prinsip pergerakan supaya kekal relevan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri bagi Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan NAM ke-18 di sini, Rabu.

Oleh kerana kebanyakan anggota NAM adalah negara membangun, Mammadyarov berkata, usaha memacu kerjasama ekonomi adalah perkara yang amat dititik-beratkan.

Selain itu, turut diberi perhatian adalah kerjasama dalam bidang keselamatan tenaga, alam sekitar, penjagaan kesihatan, sumber manusia serta meningkatkan suara NAM dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, katanya.

Mammadyarov berkata sebagai pengerusi NAM untuk tempoh tiga tahun, Azerbaijan akan memberikan tumpuan terutamanya memperkasakan belia, memandangkan golongan itu memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan masyarakat yang mampan.

“Dokumen hasil Sidang Kemuncak dan mesyuarat peringkat Menteri NAM, yang akan diterima pakai, banyak menumpukan kepada dasar belia seperti meningkatkan penyertaan golongan itu dalam pentadbiran awam dan menangani masalah sosial, pendidikan dan pekerjaan selain penglibatan lebih aktif untuk mencapai matlamat dan sasaran Agenda Pembangunan Mampan 2030,” ujarnya.

Sehubungan itu, Azerbaijan menganjurkan Sidang Kemuncak Belia NAM yang pertama di Baku melibatkan penyertaan 40 wakil belia dari negara anggota.

Azerbaijan negara terakhir menyertai NAM dan menjadi ahli sepenuhnya pada Mei 2011. Dalam tempoh lapan tahun, negara ini berjaya mendapat kepercayaan anggota yang lain untuk menjadi pengerusi pergerakan itu.

Menjadi pengerusi NAM bertepatan dengan ulang tahun ke-65 Prinsip Bandung (2020) dan ulang tahun ke-60 penubuhan NAM (2021).

NAM mempunyai konsep asas yang berasal daripada Persidangan Asia-Afrika – juga dikenali sebagai Persidangan Bandung yang diadakan di Indonesia pada 1955, yang menjadi landasan pembentukan pergerakan itu kemudian, yang antara lain, memperjuangkan rasa hormat terhadap kedaulatan dan integriti wilayah semua negara, mengiktiraf kesaksamaan dalam kalangan semua bangsa dan semua negara serta tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

Menteri itu berkata Baku mengamalkan dasar asing yang bebas dan tidak memihak kepada mana-mana perikatan tentera.

Pada masa sama, sebagai sebuah negara pesat membangun, Azerbaijan memberi penekanan khusus terhadap pembangunan mampan, demokrasi dan menghormati hak asasi manusia serta keadilan sosial.

Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan NAM ke-18 akan berlangsung pada 25 dan 26 Okt.

Sidang kemuncak itu didahului Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) pada 21 dan 22 Okt dan Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri pada 23 dan 24 Okt.

NAM dibentuk pada kemuncak Perang Dingin sebagai laluan bebas dalam politik antarabangsa bagi negara-negara yang ingin bebas daripada pengaruh kuasa-kuasa besar yang diterajui Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat pada ketika itu, serta tidak menjadi alat dalam persaingan ideologi mereka.

— BERNAMA

Daripada R.Ravichandran

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)