Nancy, MOTAC jelajah seluruh negara promosi pelancongan domestik

Nancy, MOTAC jelajah seluruh negara promosi pelancongan domestik

BAU,. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri bersama pasukan dari kementerian (MOTAC) akan menjelajah ke seluruh negara untuk mengenal pasti produk pelancongan setempat yang boleh dipromosi bagi memulih semula pelancongan domestik yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Beliau berkata bermula di kawasan Parlimen Batang Sadong dan hari ini di daerah Bau, pasukan MOTAC akan mempromosi tempat-tempat makan, tempat penginapan, adat budaya suku kaum dan tempat yang menarik untuk dilawati.

“Semua ini adalah produk pelancongan domestik yang dapat kita ketengahkan bagi memulih semula pelancongan domestik, sekali gus memulih ekonomi rakyat, negeri dan negara,” katanya kepada pemberita semasa melawat Libiki Bamboo Resort di Kampung Bijuray Mongag di sini hari ini.

Katanya, selepas tiga bulan aktiviti ekonomi negara termasuk sektor pelancongan terhenti berikutan pandemik COVID-19, kini orang ramai sudah kembali menjalankan aktiviti harian masing-masing.

Beliau berkata, selepas sektor pelancongan dibenarkan kembali beroperasi, dan dalam tempoh dua minggu ini, hotel sudah mula mendapat tempahan, malah ada yang tidak dapat menerima tempahan lagi kerana sudah penuh.

“Ini petanda yang baik dan rakyat sudah mula yakin untuk keluar dengan keadaan negeri dan negara kita yang selamat, namun kita tidak boleh membuka sepenuhnya sektor ekonomi buat masa ini, dan yang penting kita harus terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menyakinkan orang luar bahawa tempat kita adalah selamat,” katanya.

Menurut Nancy, pemulihan sektor pelancongan perlu bagi membantu memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Mengenai Inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk industri kecil dan sederhana (PKS) sektor pelancongan, seni dan budaya yang terkesan akibat pandemik itu, beliau berkata Bank Negara dijangka mengumumkan mekanisme pengagihan dana berjumlah RM1 bilion pada pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun, katanya pengumuman itu mengambil masa kerana memerlukan perancangan terperinci dan membabitkan banyak aktiviti yang memerlukan bantuan kewangan.

Sementara itu, Menteri Muda Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting yang berkata Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak bekerjasama rapat dengan MOTAC bagi memulih sektor pelancongan negeri itu.

Terdahulu, Nancy melawat ke beberapa restoran makan di Kuching, kemudiannya ke inap desa pemain Sape lagenda, Mathew Ngau’s Homestay, Singai, Gumbang Heritage Centre serta beberapa lagi tempat tarikan pelancong.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )