
Nasib Penternak Ruminan Yang Terjejas Bencana Banjir Sabah Mendapat Perhatian Ikhlas.com dan GTR
Penampang – Ikhlas.com yang terkenal sebagai platform kempen bantuan digital terkini bersama NGO ternakan Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) turun ke Penampang Sabah bagi memberi bantuan ubatan serta makanan haiwan ternakan serta bakul makanan dari ikhlas.com hasil sumbangan orang ramai kepada penternak di daerah berhampiran yang terlibat dengan banjir lumpur baru-baru ini.
Ikhlas.com yang diwakili Pegawai Bahagian Komersial Mohd Nor Effendi bin Yahya manakala GTR diwakili oleh Hussain Jaapar Presiden GTR sendiri yang turun padang bagi menyelaras pengagihan sumbangan ubatan dan makanan haiwan ternakan kepada ahli GTR serta beberapa penternak ruminan sekitar kawasan Penampang yang terjejas teruk akibat dilanda musibah banjir lumpur.
GTR komited membantu penternak ruminan terutama ahlinya dalam membantu penternak haiwan ternakan yang terjejas perniagaan dan penjualan ternakan sejak kehadiran pandemik Covid-19 tahun lalu dengan memberikan bantuan ubatan ternakan haiwan yang bersesuian dengan masalah yang dihadapi. Apa yang dilakukan oleh GTR ini adalah selari dengan misi penubuhan kelab adalah memfokuskan kepada haiwan ternakan terutama ketika pandemik Covid-19 melanda negara yang telah menjejaskan aktiviti ekonomi seperti penjualan haiwan ternakan.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan GTR kali ini dalam Misi Bantuan Penternak Sabah 2021 meliputi daerah Sandakan, Tamparuli, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Papar, Bongawan, Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu yang melibatkan 100 penternak terpilih di seluruh negeri Sabah.
– Joy Reyzal