Negara tidak bersedia untuk adakan pilihan raya umum sekarang – Dr Mahathir

Negara tidak bersedia untuk adakan pilihan raya umum sekarang – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 5 Jun — Sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum di negara ini berikutan keadaan yang tidak mengizinkan, dan tumpuan seharusnya diberi pada usaha mengekang penularan pandemik COVID-19, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sesetengah berpandangan kita wajar adakan pilihan raya sekarang … namun sekarang negara tidak bersedia untuk hadapi pilihan raya kerana kita tidak boleh berkempen, tidak boleh berkumpul dan lakukan apa yang biasa kita lakukan semasa pilihan raya,” katanya, menambah pilihan raya juga akan menelan belanja yang besar.

Bercakap pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini, Dr Mahathir berkata jika perhatian dialih kepada pilihan raya, akan ada rakyat yang menderita.

Ditanya jika beliau mempunyai sokongan majoriti untuk kembali sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu kerana “nombor asyik muncul dan hilang.”

Mengenai hubungannya dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan Anwar, namun menambah: “Mungkin beliau ada masalah dengan saya, kalian (wartawan) perlu tanya dia.”

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)