‘Negative pressure ambulance’ bantu atasi isu logistik pesakit COVID-19

‘Negative pressure ambulance’ bantu atasi isu logistik pesakit COVID-19

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan perolehan lebih banyak unit kenderaan ‘negative pressure ambulance’ bagi mengangkut pesakit COVID-19 ke pusat rawatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ambulans tekanan negatif itu merupakan keperluan penting terutama di lokasi yang mempunyai kes jangkitan tinggi.

“Kita akan mulakan tender 500 ambulans ini dan bagi ambulans lain kita akan gunakan sistem ‘leasing’ mengikut zon agar isu logistik pesakit COVID-19 di mana-mana jua dapat diatasi,” katanya ketika majlis penyerahan ‘Negative Pressure Ambulance’ pertama bagi membawa pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS dekat sini hari ini.

Ambulans tersebut serta dua lagi ambulans biasa itu diserahkan oleh Ketua Pengawai Eksekutif Weststar Group Automotive Division Syed Muhammad Ammar Syed Azman.

‘Negative Pressure Ambulance’ mempunyai sistem tekanan negatif, penapisan HEPA dan lampu UV khusus untuk kes penyakit berjangkit terutamanya jenis penyakit bawaan udara.

Sistem penapisan HEPA dan lampu UV dapat membersihkan udara dan dalam masa sama dapat memerangkap virus daripada merebak.

Ambulans ini juga dilengkapi dengan Pod Isolasi (Isolation Chamber) yang diperbuat daripada filem TPU khas dan dikuatkan dengan memasukkan tiang ABS di setiap sisi struktur usungan berkenaan.

Kedua-dua kabin ambulans dan ruang pengasingan juga dilengkapi dengan penggera keselamatan untuk memberi amaran kepada kakitangan perubatan jika ada kebocoran udara dan mengambil tindakan sewajarnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )